Thursday 21 January 2016

ALAM KANAK-KANAK RIBENA

Siapa tidak suka kanak-kanak? Siapa yang tidak sayang pada kanak-kanak? Wajah mereka yang comel serta gelagat mereka yang mencuit hati sentiasa menggembirakan hati kita. Senyum dan tawa mereka yang kita impikan. Mereka tiada dosa. Suci disisi Allah. Mereka sangat istimewa.

Selama 3 tahun berada di alam mereka dihiasi dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Pandangan mereka di luar sana akan bidang prasekolah ini satu bidang yang mudah. Bagi mereka, kami sebagai guru, hanya setakat mengajar  dan menjaga. Tidak hairan, saya sudah banyak kali menerima kenyataan seperti ini apabila saya mengadu penat. “Apa yang penat sangat ajar dan jaga budak. Kalau diorang degil, marah sajalah.”
 
Tapi tidak semudah yang dikatakan dan difikirkan. Kami bukan saja menggunakan fizikal kami malah kami menggunakan mental dan emosi kami sekali. Saya hanya mampu menjawab, “Bayangkan satu budak mewakili sepuluh orang budak”.

Berurusan mereka, kami harus bijak dalam mengawal emosi. Kami dikira berjaya jika kami berjaya bersabar, positif dan sentiasa melayani mereka dengan lembut dan penuh kasih sayang. Terus terang, saya meletakkan diri saya sebagai seorang yang kalah. Banyak kali juga saya terlajak memarahi mereka. Apakan daya, saya hanya manusia biasa. Namun, sebenarnya dalam hati sangat sayang akan mereka. Mereka sudah dianggap seperti anak-anak sendiri. Boleh jadi rindu apabila berjauhan dengan mereka. Leih-lebih lagi bila hari minggu. Keriuhan mereka sangat dirindui.

Walaupun mereka tergolong dari golongan kanak-kanak hiperaktif, mereka tiada dosa. Mereka masih berada dalam dunia mereka yang penuh dengan keceriaan. Mereka juga sedang melalui proses pembelajaran. Oleh itu, terlalu banyak kesalahan yang akan dilakukan. Tugaslah kita yang harus mendidik dan membimbing mereka. Menegur mereka dengan cara yang paling berhikmah.

Ikutilah cara nabi junjungan kita, Rasulullah s.a.w yang sentiasa melayani kanak-kanak dengan penuh keceriaan, kelembutan, kesabaran dan sentiasa tersenyum. Baginda tidak pernah menghalang kanak-kanak bermain dan menghayati zaman kanak-kanak mereka. Satu kisah lagi yang boleh kita teladani, baginda tidak marah dan tegur apabila salah seorang daripada cucu baginda yang menaiki badan baginda semasa baginda sedang bersujud ketika menunaikan solat.

Sayangilah kanak-kanak dan berusaha mendidik mereka. Saya mengambil peluang lagi untuk mengingati para ibu bapa akan menyekat penggunaan gajet terhadap anak-anak juga menyekat anak-anak dari asyik menonton program-program tivi seperti Ultraman, Spiderman, Batman, Iron Man, Naruto, Bleach dan seumpamanya. Ini kerana ia hanya memberi kesan yang negative pada anak-anak seperti anak-anak akan menjadi lebih agresif. Selain itu, program ini terdapat banyak propaganda tertentu. Program-program tersebut juga banyak berunsurkan elemen-elemen lucah yang mampu merangsang pemikiran anak-anak.


Pilihan di tangan anda. Ajarilah mereka melihat dan menonton program-program Islamiah yang membawa kepada kebaikan. Ibu bapa juga boleh menyediakan satu jadual waktu dan peraturan tegas tentang penggunaan tivi dan gajet. Fikirkanlah demi anak-anak untuk generasi yang akan datang.





No comments:

Post a Comment