Showing posts with label Latihan Binaan Plot. Show all posts
Showing posts with label Latihan Binaan Plot. Show all posts

Friday, 13 May 2016

TUGASAN 8 : LATIHAN BINAAN PLOT BERDASARKAN GAMBAR

NO 5



Ustaz Ghamidi yang merupakan Ketua Pasukan Skuad Rimba Hijau melihat setiap wajah anak-anak buahnya. Selepas berpenat lelah menjalani latihan dari pagi tadi. Mereka diminta berkumpul sebelum waktu rehat untuk sesi tarbiah. Kelihatan semua duduk dalam bentuk bulatan berhadapan dengan Ustaz Ghamidi yang mereka sangat hormati itu.


“Ingat lima perkara sebelum lima perkara,” Ustaz Ghamidi memulakan bicara. Masing-masing mula senyap dan menumpukan perhatian.


“Salah satu daripada lima perkara tersebut adalah ‘Hidup sebelum mati’. Hari ini saya mahu mengajak beberapa daripada rakan kita berkongsi, apakah perkara yang dia ingin segera tunaikan sebelum dia bertemu Tuhan.”


Semua berpandangan antara satu sama lain lalu melihat Ustaz Ghamidi semula. Air wajah mereka seolah-olah sudah bersedia dengan jawapan. Hanya menunggu siapa yang akan dipilih oleh Ustaz Ghamidi untuk berkongsikan mengenai perkara yang baru disebutkan tadi.


“Baiklah. Rakan pertama yang saya pilih adalah Sufian. Kongsikan Sufian. Apakah perkara yang kamu ingin segera tunaikan sebelum kamu bertemu Tuhan.”


Sufian berdehem sambil membetulkan kedudukannya. Dia memusingkan bahunya seperti membuat satu senaman lalu melihat Ustaz Ghamidi dengan wajah yang tenang. Dia menarik nafas.


“Saya ingin berbakti dengan ibu saya, ustaz. Saya adalah anak yatim. Ayah meninggal sejak umur saya masih muda. Ibu telah bertungkus lumus menjaga, menyara dan mendidik saya dan seorang adik saya. Jadi tiba masa saya pula untuk membalas kesemua jasanya. Saya ingin buat dia hidup bahagia.”


“Bagus Sufian. Kasih ibu memang tiada penghujungnya. Dialah satu-satunya insan yang sentiasa memikirkan tentang kita siang dan malam. Amat tidak adil jika kita tidak memikirkan tentangnya langsung. Walaupun kita tidak berjauhan dengan dia, kita hendaklah bertanyakan khabarnya. Apatah lagi jika kita berjauhan seperti ini. Lepas ni, masing-masing telefon ibu.”


Sesetengah daripada anggota skuad menunduk seperti terasa dengan suruhan Ustaz Ghamidi. Barangkali mereka terleka untuk bertanyakan khabar ibu masing-masing sebelum ini.


“Baik… Anuar. Sila kongsikan.”


Anuar yang duduk pada jarak yang agak hujung memanjang-manjangkan lehernya.


“Ustaz, kalau nak ikutkan banyak saya nak buat. Tapi, perkara utama saya nak tunaikan adalah bayar hutang.”


“Hutang apa itu Anuar?”


“Hutang saya pada orang lain yang belum saya bayar. Hutang duit maksud saya. Tapi ada juga janji-janji saya yang belum saya tunaikan. Jadi jika boleh, saya berdoa agar semua perkara ini dapat diselesaikan dulu sebelum saya pergi menghadap Allah.”


“Bagus Anuar. Perkara penting yang kita kena titikberatkan. Nampak kecil. Kadang-kadang kita culas. Namun, diharapkan kita tidak lupa, pertimbangan kita mungkin tergantung akibat perkara ini di akhirat kelak. Jadi, mulai hari ini, cuba masing-masing ingat, ada tak hutang-hutang kita yang masih belum kita langsaikan.”


“Baiklah… yang terakhir, saya nak Helmi. Tolong kongsikan pada kami apakah perkara yang kamu mahu segera tunaikan.”


“Saya nak mohon maaf, ustaz!”


“Kamu nak mohon maaf pada siapa?”


“Dengan semua orang. Tak kisahlah orang yang pernah saya sakiti atau tidak. Saya mahu mohon maaf dengan semua orang. Terseksa batin saya jika sebenarnya ada orang marah atau sakit hati pada saya. Padahal saya tidak tahu menahu tentang itu.”


“Betul Helmi. Saya setuju. Sebab itu disarankan bagi kita semua agar sentiasa menjaga percakapan dan perlakuan kita. Terutamanya, percakapan kita. Lidah kita ini bersifat tajam. Kalau kita sudah mengguriskan hati seseorang, perkara itu akan diingat sampai bila-bila. Kita hidup bermasyarakat. Lain orang, lain ragam. Terimalah kekurangan masing-masing seadanya. Jauhkan dari mengumpat. Berbaik sangka sentiasa.”


Kelihatan semua anggota skuad mengangguk kecil tanda setuju. Masing-masing seolah tenggelam dengan pemikiran sendiri. Apa yang diperkatakan oleh Ustaz Ghamidi tadi bagai menusuk jiwa mereka. Kadang-kadang kita terlalu bersifat justifikasi. Semua orang tidak kena di mata kita.


“Tidak mahu memanjangkan masa lagi. Saya tahu kamu semua juga perlu berehat sebelum menjalani latihan selepas makan malam nanti. Saya yakin semua sudah faham dan sedar akan kepentingan perkara-perkara yang dikongsikan rakan-rakan kita tadi. Namun, ada satu perkara yang tidak disebut tadi dan saya mahu kongsikan. Perkara yang kita ambil ringan secara tidak sedar. Kamu semua rasa apa perkara tersebut?”


Jeda.


“Solat! Solat adalah tiang agama. Tanpa solat, kita menjadi muslim yang tidak bernyawa. Solat itu seolah-olah jantung kita. Penting bagi kita menjaga kualiti solat kita sendiri. Selain berusaha menjaga tertib solat, membaca bacaan solat dengan betul dan khusyuk. Kita perlu juga menjaga waktu solat kita. Solatlah pada awal waktu. Dari situ, timbul kepuasan pada diri kita sendiri nanti. Baiklah semua, jaga solat kita, ia adalah bekalan utama kita di akhirat nanti. Semua faham? Jika faham, laung Allahuakbar! Sebanyak tiga kali.”


Dengan semangat, kelihatan semua anggota skuad melaung dengan penuh semangat sambil mengangkat sebelah tangan mereka ke langit. Sehingga suara mereka bergema-gema.
“Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!”


“Bagus. Saya akhiri dengan tasbih kifarah dan Surah Al-Asr dan kamu semua boleh bersurai.”



Semua menunduk dan menadah tangan. Suasana sepi seketika. Hanya kedengaran suara berbisik membaca surah. Apabila selesai, semua anggota skuad bangun dan menyalami antara satu sama lain sambil membaca salawat Nabi. Begitulah ukhuwah Islami yang dicintai Allah. Mereka semua akhirnya bersurai. 

Wednesday, 11 May 2016

TUGASAN 8 : LATIHAN BINAAN PLOT BERDASARKAN GAMBAR

NO 4



Kelihatan Amir dan Usop berdiri di depan cermin sambil mengaya-gayakan topeng yang mereka akan pakai di Majlis Perpisahan pelajar semester akhir yang bakal menamatkan pengajian. Majlis perpisahan itu bertemakan ‘Topeng’. Oleh itu, pelajar-pelajar diminta untuk memakai apa-apa jenis topeng. Asalkan tidak berunsurkan perkara yang pelik-pelik dan terlalu ngeri. Malah, beberapa kategori anugerah akan diberikan kepada pelajar yang terpilih.

Amir mengaya-gayakan topengnya yang separuh Raja Rimba dan separuh Raja Belang itu. Begitu memukau. Usop pula hanya akan memakai hud hitam. Biasa saja. Namun dia akan memakai pakaian ala-ala perwira. Di sudut yang jauh, Reykal hanya memerhati gelagat mereka. Dua kawan serumahnya itu tidak perlu bersusah payah lagi memikirkan topeng apa yang mereka akan pakai. Masing-masing sudah mempunyai topeng yang dia akui sangat luar biasa. Hanya dia saja masih pening kepala. Dia tidak punya topeng lagi. Dia seorang yang pantang kalah, dia mahu nampak unik dan menjadi perhatian nanti. Dia mahu menang.

Dia melepaskan keluhan kecewa lalu melontarkan pandangannya ke arah tivi yang sedang menyiarkan konsert kumpulan muzik rock. Jeda. Tiba-tiba matanya terbeliak. Dia memetik jari seolah-olah sudah mendapat idea. Dia pantas mencapai bahan-bahan yang bakal digunakan lalu masuk ke bilik dan pantas mengunci pintu. Usop dan Amir yang hanya hairan melihat Reykal yang tidak mempedulikan pandangan mereka.

Dia duduk di kerusi meja belajar lalu meletakkan kesemua bahan-bahan tadi di atas meja. Kain, jarum, gam, gunting, manik-manik, kertas dan beberapa bahan lagi turut kelihatan. Tanpa berlengah dia memasukkan benang ke dalam lubang kecil jarum dan meneruskan misinya sambil menyeringai. Hujan dan bunyi petir menaikkan lagi suasana emosinya. Sungguh saspen!

Pada keesokan harinya, pada Majlis Perpisahan tersebut telah berlangsung dengan jayanya. Ramai yang memakai topeng-topeng yang menarik dan unik. Hingga masa yang dinantikan, pelajar-pelajar yang bakal menerima anugerah telah pun dipanggil untuk naik ke atas pentas.

Reykal menunduk. Dia memakai topeng yang sangat pelik sehingga menutup hampir kesemua wajahnya. Semuanya musnah. Harapannya mahu memenangi anugerah Topeng Luar Biasa namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Dia melepaskan lagi keluhan yang sungguh berat. Amir yang berada di sebelahnya memeluk bahunya.

“Sabarlah Reykal. Itulah aku dah nasihatkan. Jangan tamak sangat. Biar luar biasa tapi biasa. Ini aku tengok muka kau dah serupa alien dah. Penyudahnya kau dapat anugerah Topeng Paling Buruk. Takpalah Reykal… menang jugalah tu. Sabar”


Reykal mengenggam tapak tangannya. Dia berkalih melihat Amir seketika. Antara berang atau tenang mendengar pujukan kawannya itu. Dia sudah siap menyingsing lengan bajunya. Namun akhirnya, dia menunduk dan mengeluh sekali lagi. Dia pasrah. Tiada rezekilah nampaknya.

TUGASAN 8 : LATIHAN BINAAN PLOT BERDASARKAN GAMBAR

NO 3




“Khai… Khai, kau tengoklah sana tu.”

Jeda.

Roslan berkalih melihat Khai yang tidak memberi apa-apa respon terhadap apa yang disuruhnya tadi. Baru dia perasan, Khai asyik tersengih-sengih sambil melihat skrin telefon bimbitnya. Sah, sedang berbalas SMS cinta.

Roslan mengetap bibir lalu mencapai stokin disisinya lalu mencampak ke arah Khai sehingga mengena pada wajah Khai yang kini melatah-latah akibat buatan Roslan tadi. Roslan menutup mulutnya menahan tawa.  Terkerut-kerut muka Khai tidak tahan dengan bau busuk stokin Roslan barangkali.

“Woi! Kenapa dengan kau ni? Tak boleh tengok orang senang langsunglah.”

Khai membaling semula stokin busuk Roslan ke arah muka kawan karibnya itu. Pantas ditepis Roslan yang sedang ketawa mengejek kepadanya.

“Alah… maafkanlah aku. Bukan aku sengaja pun. Kaulah yang buat tak tahu saja bila aku cakap dengan kau. Sibuk sangat nak balas mesej awek. Penyudahnya aku cakap dengan tunggul.”

Khai masih berang. Dia mengosok-gosok hidungnya lagi. Bagai terkenang-kenang bau stokin Roslan bacin yang amat itu.

“Itu! Aku suruh kau pandang sana.”

Khai pantas berpaling melihat apa yang ditunjuk Roslan padanya. Kelihatan beberapa rakannya sedang berkumpul sambil berhadapan dengan jurulatih mereka sambil mengangkat tangan mereka dan memegang beberapa botol air. Khai mengerut kehairanan.

“Kenapa dengan mereka itu? Coach pun nampak berang saja.”

“Osman, Shahril, Nasrik dengan Ashraf tulah. Diorang kan takda masa coach suruh kita lari pusingan 50 kali tadi. Rupanya diorang menyorok kat tandas.”

“Sampai macam tu sekali. Macamlah diorang tak biasa sebelum ni.”

“Diorang malaslah tu. Penyudahnya masing-masing tanggung sendiri.”

“Vincent dengan Daud tu dah kenapa menyibuk sekali kat situ. Bukankah diorang ada tadi masa kita lari.”

“Memang ada. Dua orang tu lagi satu hal. Masa yang lain kena denda. Diorang boleh ketawa terkekek-kekek  kat depan coach. Sudahnya coach tambah berang. Apalagi, diorang pun kenalah. Nasib baik kena angkat tangan saja.”

“Hish!Hish!Hish! Itulah… kita ni memang kena fikir dulu apa-apa hal sebelum bertindak atau nak melakukan sesuatu. Kalau tidak, akhirnya diri kita juga yang merana.”

Roslan mengangguk setuju.

“Betul kata kau tu Khai. Aku setuju sangat.”

Priiiit!!!

“Roslan! Khai! Apa korang duduk bersantai lagi kat situ ah! Cepat masuk barisan! Kalau tidak, dengan korang sekali kena.”


Mendengar jeritan coach yang seumpama Raja Rimba itu, kelihatan Roslan dan Khai serta merta bangun dan berlari seperti lipas kudung ke depan lalu cepat-cepat mereka memasuki barisan. Mereka bakal menempuhi latihan bola sepak yang sangat memenatkan hari ini. Memandangkan emosi coach yang tidak baik dan mereka sering dimarahi. Roslan dan Khai melepaskan keluhan kecewa. Orang lain punya fasal, mereka sekali kena. 

Thursday, 5 May 2016

TUGASAN 8 : LATIHAN BINAAN PLOT BERDASARKAN GAMBAR

NO 2




Tiada sinaran mentari menyinari pagi Jumaat itu. Langit kelihatan kelabu bagai memahami perasaan yang dirasai pekerja-pekerja sebuah syarikat penerbangan yang sedang berkumpul di dewan utama. Masing-masing kelihatan sebak dan sayu. Kelihatan selendang atau tudung hitam dipakai oleh pekerja-pekerja wanita. Mereka kelihatan tesedu-sedu sambil memeluk rakan-rakan mereka. Berita yang mereka terima pada pagi itu membuatkan dada mereka berat seperti dibebani sesuatu. Kelihatan seorang lelaki berumur antara 50-an naik ke atas pentas kecil di depan tempat mereka berkumpul.


“Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Alhamdulilah, terima kasih Tuhan kerana masih memberi kita kesempatan untuk berkumpul pada pagi ini. Telah dimaklumkan, kita semua di sini adalah untuk memperingati pemergian seorang kapten, ketua, pembimbing serta seorang sahabat yang baik dan begitu dekat dengan hati kita. Beliau telah meninggalkan kita untuk selamanya. Apa yang boleh saya katakan, beliau sangat istimewa orangnya dengan budi pekertinya serta sikap rendah diri dan bertoleransi. Pemergiannya amat menyedihkan hati kita semua. Namun, sentiasa kita ingat akan pesanan beliau bahawa kita di dunia ini mestilah terus berjuang untuk hidup dan berbakti untuk orang ramai. Semoga Allah sentiasa merahmati beliau.”


Pembantu Kapten turun dari pentas dengan langkah yang lemah sebaik sahaja menghabiskan ucapannya. Meskipun hatinya juga amat merasa kesedihan namun itulah tugasnya. Kini, tugasnya sudah selesai. Kedengaran tangisan yang makin kuat dan tidak terkawal.


Srettt!


Emilia pantas menyedut hingusnya supaya tidak mengalir keluar. Dia menutup hidungnya yang kemerahan dengan sehelai tisu. Air matanya sudah merah dan mengecil akibat menangis terlalu banyak. Seperti rakan-rakannya yang lain. Kapten Ismail bukan setakat ketua bagi dirinya malah lebih seperti seorang ayah. Insan itu sentiasa membimbing dan menasihatinya sepanjang dia berkhidmat. Menjadikan Emilia dan rakan-rakan yang lain seorang pekerja yang makin bersemangat dalam melaksanakan tugas-tugasnya.


Dia berkalih pula melihat Kelly di sebelahnya yang juga tidak dapat mengawal tangisan. Wajah rakannya itu juga sudah merona merah. Mata mulai sembab. Dia beralih pula melihat gambar Kapten Ismail yang diletakkan di dalam bingkai dan dipamerkan di atas meja. Dia melangkah perlahan menuju ke situ lalu meletakkan bunga putih tanda simbolik untuk selamat tinggal untuk selamanya.



“Terima kasih Kapten,” ucapnya perlahan.

Wednesday, 4 May 2016

TUGASAN 8 : LATIHAN BINAAN PLOT BERDASARKAN GAMBAR

NO 1




Di dapur, kelihatan Raihanah dan Nadhirah sudah lengkap memakai apron yang bercorak bunga-bunga kecil berwarna ungu. Sengaja mereka memakai corak yang sama. Sehati sejiwa lah katakan. Nadhirah mahu memasak juadah makan malam. Disebabkan dia tidak mahir memasak, Raihanah telah menawarkan diri untuk membantunya.

“Ok… Nadhirah. Menu kita ialah Nasi Goreng. Aku dah siap hiriskan bawang putih dan merah serta siang sayur sawi dan tumbuk cili untuk kita gunakan sebagai rencah dengan kiub ayam maggi. Sekarang ini, tiba masa untuk kau masak. Jangan risau, aku tolong ajarkan,” Raihanah menerangkan dengan lancar ala-ala cikgu memasak gayanya.

Nadhirah mengangguk semangat sambil menggenggam tapak tangannya. Dia sangat bersemangat walaupun ini merupakan pengalamannya untuk pertama kali. Tambahan lagi, kawan baiknya sendiri berbesar hati untuk menolongnya. Disebabkan dia mahu membuat satu kejutan untuk mami dan dedi apabila mereka pulang dari tempat kerja.

Semua bahan sudah siap. Kuali juga sudah diletakkan atas dapur gas. Tinggal mahu hidupkan api dan menuang minyak. Selepas itu, mereka boleh berperang dengan senjata mereka iaitu senduk. Namun, saat Nadhirah memutar knob gas. Api tidak ternyala. Dia memutar lagi untuk beberapa kali. Dia mengalih perlahan. Raihanah sedang berpeluk tubuh melihatnya. Nadhirah senyum kambing.


                                                                        * * *


Ramai yang berkunjung di pasar malam yang dibuka setiap hari Rabu itu. Raihanah dan Nadhirah juga kelihatan berjalan-jalan sambil kepala mereka tidak henti menoleh melihat gerai-gerai makanan yang ada. Akhirnya, mereka membuat keputusan untuk membeli makanan saja di situ memandangkan mereka tidak dapat memasak kerana gas habis.
“Maafkan aku Raihanah. Aku pun tak sangka gas habis. Kalau aku tahu, awal-awal lagi aku dah minta tolong dedi gantikan gas.”

“Takpalah… hal kecil. Aku pun terlupa nak pastikan dengan kau. Aku letakkan benda tu sebagai perkara utama sebelum aku memasak. Kalau tidak, penyudahnya macam inilah.”
Nadhirah mengangguk setuju. Mereka terus berjalan dan mencari-cari makanan untuk dibeli namun tidak ada apa yang menarik perhatian mereka. Akhirnya, pandangan mata mereka terhenti melihat sebuah gerai yang kelihatan ramai pembeli. Mereka sama-sama berpandangan.

“Cukupkah kalau nak beli satay sosej dan nugget je?” tanya Raihanah melihat Nadhirah yang seolah-olah melihatnya dengan mata bersinar-sinar. Dia tahu itu merupakan makanan feveret Nadhirah.

Nadhirah mengangguk banyak kali. Raihanah menghembus nafas.

“Ok! Jom… lepas ni kita pergi gerai lain pula. Kena belikan juga juadah untuk mami dan dedi kau.”

Nadhirah mengangguk sekali lagi. Sudah seperti anak kecil yang taat kepada ibu pula. Mereka menuju perlahan ke gerai itu dan membeli secukup yang boleh. Hampir satu jam mereka pun pulang dan tidak sabar lagi untuk menghidang dan menikmati juadah yang mereka beli untuk makan malam.