Thursday 28 April 2016

SOALAN 2


Sumber Rujukan (Hak Milik ITBM)

2.    Silly (Pandir) ialah seorang lelaki pertengahan umur yang menyikat helaian rambutna yang tidak bermaya untuk membentuk jambul berpusar lalu melekatkannya dengan penyembur rambut pada kepalanya yang botak dan berharap tiada sesiapa yang akan mengetahuinya.

   Silly(pandir) ialah seekor anjing baka golden retriever yang perlahan-lahan merangkak turun dari sofa setiap kali tuannya pulang ke rumah, berharap - walaupun banyak bulunya yang melekat pada sofa tersebut - tuannya tidak menyedari bahawa dia telah tidur di atas sofa itu. 

 Apakah benda lain lagi yang menunjukkan Silly(pandir? Berikan tiga lagi contoh.

JAWAPAN :

  Silly(Pandir) ialah seorang budak lelaki berumur 7 tahun mengigit dakwat pensil warna dan menelannya sewaktu di dalam kelas dan memberi alasan bahawa dia menyangka pensil-pensil tersebut adalah gula selepas ditegur oleh guru kelasnya.

   Silly(pandir) ialah seorang datuk yang telah memarahi cucu-cucunya dan menuduh mereka telah mencuri cermin matanya yang hilang tanpa menyedari sebenarnya dia yang telah lupa meletak cermin matanya sendiri.

   Silly(pandir) ialah seorang cikgu yang pantang mendengar muridnya bising atau bertanya sewaktu dia sedang mengajar. Pada suatu hari, salah seorang muridnya telah dimarahi dan didenda berdiri di atas kerusi sehingga habis kelas kerana mengangkat tangan sewaktu dia sedang sibuk mengajar. Akhir kelas, baru dia menyedari bahawa zip seluarnya telah terbuka.



TUGASAN 7 : LATIHAN NARATIF BERDASARKAN PERKATAAN

NO 4 : REMPUH

Sumber : carian goggle

Selepas berempuh-rempuhan dengan pembeli lain. Akhirnya Siti berjaya mencapai tudung yang menjadi pilihannya. Jualan murah sempena Sambutan Tahun Baru itu memang sentiasa dinantikannya. Akhirnya, hatinya puas. Dia melihat rak longgokan baju. Dia meletup-letupkan jari jemarinya. Dia tersenyum. Dia bakal berempuh lagi. 

TUGASAN 7 : LATIHAN NARATIF BERDASARKAN PERKATAAN

NO 3 : HIMPUN

Sumber : carian goggle
"Kenapa kamu lewat sampai ke sekolah?" Tanya guru disiplin yang bertugas sambil melihat wajah Azmin dengan bengis.

"Err... saya tertidur lewat semalam, cikgu," Jawab Azmin dengan tergagap.

Akibat leka menonton perlawanan bola sepak hingga lewat malam. Azmin terlajak tidur pagi tadi menyebabkan dia dimarahi guru disiplin kerana terlepas menghadiri perhimpunan pagi. Dia akan didenda akibat kesalahannya itu.



NOVEL PERTAMA ~ TEMAN TERULUNG ~


Ini adalah novel pertama yang saya tulis dalam masa 2 tahun dan berjaya disiapkan pada tahun 2013. Tidak diterbitkan dalam bentuk buku. Saya memilih untuk menerbitkannya di laman web Wattpad. Saya akui saya jatuh cinta dengan novel ini. Bukan kerana ia bagus atau lain daripada lain tapi saya begitu dekat dengan watak-wataknya walaupun ia adalah ciptaan saya sendiri.

Raihanah dan Nadhirah yang merupakan watak utama dan sahabat baik berjaya menceriakan hidup saya. Sehingga bila selesai saya menulis novel ini, saya begitu sedih kerana seolah-olah saya mahu meninggalkan mereka. Novel ini memberi kesan yang amat bermakna pada saya. Saya dapat rasakan saya menulis dari dalam hati saya. Saya berjaya mencipta dunia mereka. Akan tetapi, novel ini masih kurang dari segi tatabahasa yang betul dan susunan ayat yang baik.

Namun, Saya merancang untuk mengedit semula dan jika ada rezeki saya mahu cuba menghantar di syarikat penerbitan yang sudi menerima.

Raihanah, Nadhirah... i miss you both so much~

Semoga kisah mereka dapat dibaca oleh semua. 

Tuesday 26 April 2016

BERMULANYA SAYA MEMAKAI NIQAB

Assalamualaikum w.b.t

Bismillahirahmannirrahim...

Coretan ini hanyalah untuk diri sendiri agar terus Istiqamah dengan pilihan saya sendiri. Sedikit harapan untuk semua menjadikan ia satu pilihan juga.

Saya bukan pelajar sekolah agama atau seorang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi. Saya hanya hamba Allah yang biasa, yang sering juga melakukan kesilapan yang sama. Seorang yang ingin berubah namun kadangkala sering leka.

Dari seorang yang bergaya dan 'rugged', saya membuat keputusan untuk bertudung labuh. Walaupun ada segelintir yang tidak setuju dengan penampilan ini atas alasan 'out to date' dan masih muda. Ada juga yang menuduh, saya berubah begini kerana seorang lelaki. Saya biarkan saja. Sebelum memilih penampilan saya sekarang, wanita yang memakai jubah dan bertudung labuh amat menarik perhatian saya. Sejuk mata memandang. Mulai saat itu, niat di hati memang sudah lama mahu berpenampilan begitu juga.

Saya mohon janganlah menyalahkan penampilan ini jika ada perangai atau silap saya tidak kena pada gaya. Yang salah adalah diri saya sendiri. Kemudian, saya mengambil keputusan untuk pergi ke tahap seterusnya. Walaupun, mula-mula rasa macam kekok tapi selepas mencubanya saya amat jatuh cinta,

Mulanya, saya cuba memakai niqab apabila saya berjalan bersendirian. Masa itu saya belum berkahwin. Saya bukanlah antara wanita yang cantik. Namun, apabila memakai niqab saya rasa keselesaan yang luar biasa. Terutamanya, kaum lelaki tidak memandang saya. Saya bukan menuduh mereka golongan mata keranjang. Tapi, ini adalah hakikat. Niqab antara salah satu cara terbaik untuk kita melindungi wajah kita daripada dipandang lelaki ajnabi. Dengan ini, secara tidak langsung, kita juga jauh daripada fitnah.

Selain iu, bila memakai niqab, serta merta saya dapat melindungi diri dan hati saya sendiri. ia seumpama memberi saya peringatan untuk saya berhati-hati menjaga perlakuan dan percakapan.

Sungguh indah, saya bersyukur kerana Allah bukakan hati saya untuk berpenampilan seperti ini.

Walaupun, boleh dikatakan bukan "fulltime" saya memakai niqab di atas permintaan seseorang namun saya tetap punyai cita-cita untuk memakainya kemana saja saya pergi. Perubahan tidak perlu mendadak, bukan?

Alhamdulilah dan InshaaAllah...

TUGASAN 7 : LATIHAN NARATIF BERDASARKAN PERKATAAN

NO 2 : PUTIH

(Sumber : carian google)

Antara sejadah bunga biru dan sejadah putih, aku lantas memilih sejadah putih dan menuju ke kaunter pembayaran. Warna putih mengingatkan aku pada kematian. Semoga dengan melihat sejadah putih ini aku sentiasa mengingati kematian dan dengan cara itu aku lebih dekat pada Allah taala,

TUGASAN 7 : LATIHAN NARATIF BERDASARKAN PERKATAAN

NO 1 : HAJI

(Sumber : carian google)
Punah harapan Zabedah untuk pergi haji tahun ini. Dia terpaksa menjaga cucu-cucunya kerana anak sulungnya dihantar bertugas di luar negara. Tambahan lagi, wang perbelanjaan yang sepatutnya digunakan untuk ke Tanah Suci juga dipinjam untuk menambah kos tambang anaknya yang tidak cukup. Walaupun Zabedah rasa terkilan namun dia yakin ada hikmah di sebaliknya. Dia tetap berdoa akan dapat pergi haji pada tahun hadapan pula.



UPDATE TERKINI GOODREADS

27/4/2016

Berbanding dari post update yang lepas, tidak banyak perubahan. Hanya 4 buah buku dapat saya habiskan setakat ini.


SOALAN 1

27 April 2016

Rujukan :  (Hak Milik ITBM)


1. Tulis satu perenggan tentang seorang kanak-kanak perempuan yang bernama Dot, tanpa menggunakan huruf yang bertitik (i,j)

JAWAPAN SAYA :

Dot merupakan kakak kepada Ana yang suka makan ayam goreng. Buah Epal juga merupakan buah kegemaran Dot. Dot juga membela seekor burung dan dinamakan Lulu. Dot suka meluangkan masa bersama Lulu.







MENULIS SECARA KREATIF

Hari ini saya terjumpa buku Menulis Secara Kreatif keluaran dari Institut Terjemahan & Buku Malaysia di perpustakaan. Memanggil saya untuk meminjam buku ini kerana latihan-latihan yang diberikan amat menarik dan dapat memahirkan lagi penulisan saya.

Buku ini mengandungi 200 latihan yang boleh dijawab mengikut syarat dan kreativiti kita sendiri. Saya akan berkongsi setiap soalan latihan dan jawapan yang telah saya buat di blog ini setiap hari. Sahabat-sahabat boleh pilih label "Latihan Menulis Secara Kreatif"  dan bolehlah mencuba sekali. :)




Tajuk : Menulis Secara Kreatif

Harga : MYR 20.00

Keluaran : ITBM





Friday 22 April 2016

TUGASAN 6 : LATIHAN BINAAN SUDUT BERDASARKAN YOUTUBE

Assalamualaikum W.B.T

Bismillahirahmannirahim...

Rujukan : Youtube

BAHAGIAN SATU - ANAK


Sudut Pandangan Ketiga

Izani terbaring lemah. Sudah beberapa hari dia demam panas. Dia melihat ayah yang membelai-belai rambutnya dengan penuh simpati. Izani merupakan anak tunggal dan menjadi anak yang sangat manja dengan ayah. Ayah sentiasa melayani kerenahnya. Sentiasa memberi perhatian pada Izani walaupun ayah sibuk mencari rezeki. Ayah merupakan petani yang bekerja di sawah milik Pak Usop yang merupakan seorang ketua kampung.

Kelihatan ayah mengikatkan kasut sekolah Izani sebelum pergi ke sekolah. Memang itu yang ayah inginkan. Izani tidak pernah berasa kekurangan kasih sayang. Waktu itu, dia sangat rapat dengan ayah. Namun, beranjak remaja, Arus teknologi yang kian berkembang bagai cendawan tumbuh ini, Izani tidak terkecuali. Dia sering bermain telefon bimbit dan bermesej bersama rakan-rakannya. Dia kelihatan tersenyum sendirian tanpa mengendahkan ayah yang sedang duduk di meja makan.

Masa itu adalah waktu makan tengah hari. Kelihatan makanan sudah terhidang di atas meja. Ayah hanya melihat Izani dengan pandangan yang kecewa. Dia merindui satu-satu anak lelakinya itu. Semuanya tidak seperti dulu. Izani kini sudah tidak mesra dan kurang memberi perhatian pada ayah. Begitu juga keadaannya apabila Izani menemani ayahnya ketika memancing.

Izani hanya melihat kosong pada ayah yang baru berjaya menangkap ikan. Malah matanya terus melekat di skrin telefon bimbit dan terus tersenyum sendirian melayan mesej rakannya. Kini, dia sudah dewasa. Petang itu, dia bersiar-siar di kawasan sawah, mendongak ke langit dan menggamit memori waktu dia bersama ayah.


Kelihatan Izani duduk merenung ke arah sawah yang terbentang luas. Penyesalan yang tiada gunanya. Ayah sudah meninggal untuk selamanya. 

TUGASAN 6 : LATIHAN BINAAN SUDUT PANDANGAN BERDASARKAN YOUTUBE

Assalamualaikum W.B.T

Bismillahirahmannirahim...

Rujukan : Youtube

BAHAGIAN SATU - ANAK


Sudut Pandangan Kedua

Kau membelek-belek telefon bimbit dengan wajah tersenyum. Kau pergi meninggalkan ruang dapur meninggalkan abah yang memandang kau dengan wajah yang sepi dan seperti mengharapkan simpati. Dia melihat kau sehingga hilang dari pandangan. Tidak kau hiraukan. Kau lebih bahagia bersama telefon bimbitmu.

Kau lupa abah selalu berada disisi saat kau menderita sakit. Membelai-belai dirimu sambil memandangmu dengan penuh kasih sayang. Seolah-olah mahu mengantikan tempat kau. Kau juga lupa tanpa rasa serba salah kau melihat abah mengikat tali kasut sebelum pergi ke sekolah. Namun, abah melakukan semua itu kerana sayangnya pada kau. Dia tidak pernah rasa lelah apabila berjuang berhabisan mencari rezeki demi kau.

Namun, kau tetap lupa. Dalam keadaan terpaksa, kau menemani abah memancing di tepi sawah. Abah mendapat hasil tangkapan tidak kau hiraukan. Tiada sorakan mahupun perhatian. Kau terus membelek telefon dan senyum sendirian.


Kini, kau sedang duduk merenung sawah menghijau yang terbentang luas. Kau sedang memikirkan abah. Kau memikirkan kenangan dan jasa ayah pada kau. Kau kelihatan sedih seperti mengharapkan abah berada disisi seperti dulu. Kau terus termenung melayani jiwamu yang sebak.

TUGASAN 6 : LATIHAN BINAAN SUDUT PANDANGAN BERDASARKAN YOUTUBE

Assalamualaikum W.B.T

Bismillah...

Rujukan : Youtube

BAHAGIAN SATU - ANAK



Sudut Pandangan Pertama

Aku mendongak ke langit. Petang itu aku bersiar-siar di kawasan sawah. Aku mengenangkan ayah. Disinilah tempat dia mencari rezeki untuk menampung hidupku tanpa kenal penat lelah. Aku teringat ketika aku sakit, ayah sentiasa berada disisiku, menemani dan menjaga aku sehingga aku sembuh. Dia mebelai-belai rambutku sebelum tidur. Ayah sentiasa melihat aku dengan penuh kasih dan sayang. Ketika aku mahu ke sekolah. Ayah selalu mengikatkan kasut sekolah untuk aku. Aku hanya melihat tanpa serba salah. Kadang-kadang aku merungut dan menyuruh ayahku supaya cepat. Begitu besarnya jasa ayah kerana sentiasa sabar melayan kerenah aku.

Namun, apakah balasan aku terhadap ayah? Ibu sudah tinggalkan kita. Sejak itu, ayah berjanji tidak sekali-kali mengabaikan aku. Aku akui ayah sentiasa memahami kehendak dan keperluan aku. Ada suatu hari ayah sudah menghidang makanan di atas meja untuk makan tengahari. Ayah masak lauk kegemaran aku namun aku pergi meninggalkan ruang dapur apabila mesej kawan aku waktu itu lebih penting.

Aku pergi tanpa mengendahkan ayah yang terpinga-pinga melihat aku dan akhirnya ayah makan tanpa aku waktu itu. Semakin hari, aku lebih banyak meluang masa bersama diriku sendiri dan kawan-kawan. Lebih-lebih lagi, aku sudah punyai teman istimewa. Kami sering bermesej dan mengenali antara satu sama lain. Ayah di depan aku sedang memancing berjaya mendapat hasil tangkapan yang besar. Namun, ia langsung tidak menarik perhatian aku.

Kini, sudah tiga hari ayah meninggalkan aku untuk selamanya. Aku masih disini. Aku mahu mengenang segala memori bersama ayah. Di sawah ini bukti di mana kasih sayang ayah terhadap aku. Sekiranya, aku boleh bertemu lagi dengan ayah. Aku mahu mengatakan padanya yang aku sayang pada ayah. Jasa ayah tetap dikenang sepanjang hidup aku.

Monday 11 April 2016

UPDATE TERKINI GOODREADS

12/04/2016

Alhamdulilah... ada peningkatan. Saya berjaya menghabiskan beberapa buah buku. Saya akui dengan adanya perancangan masa membuatkan saya lebih lancar membaca buku. Contohnya, Untuk buku yang nipis saya mengambil masa dalam satu atau dua jam. Untuk buku yang sederhana tebalnya saya mengambil masa selama dua hari.

Namun, untuk beralih membaca buku yang baru bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Kadang-kadang, kita seolah-olah tidak bersedia dan boleh membuatkan minda kita terasa beku. Cadangan saya, ambil lah masa sebentar. Berapa lama? Terpulang pada diri masing-masing. Jika saya, saya mengambil masa yang lama juga, ada ketikanya sehingga satu hari. Apa yang lebih utama, bila kita rasa 'fresh'. Hati senang, semangat pun berkobar-kobar. 



Monday 4 April 2016

PUASA BELI BUKU SELAMA 3 BULAN

Gara-gara 'Great Offer' yang ditawarkan oleh Kedai Buku Popular. Saya terjebak membeli lebih daripada sepuluh buah buku. Tawaran itu hanya untuk buku inggeris antarabangsa. Akibat terlalu minat dengan buku, susah untuk saya kawal untuk tidak membeli buku. Lebih-lebih lagi apabila berkunjung di kedai buku. 

Buku adalah sahabat saya.

Namun, akibat membeli banyak buku dalam satu masa atau dalam masa yang dekat. Saya gagal untuk membaca kesemua buku yang saya telah beli. Dan seperti yang saya katakan sebelum ini. Saya gagal merancang masa saya dalam seharian.

Oleh itu, saya bertekad untuk berpuasa membeli buku selama 3 bulan dan target untuk menghabiskan suku atau separuh buku-buku yang telah saya beli. 

Tidak mudah yang saya fikirkan sebenarnya. Sangat menyeksa jiwa dan raga. Lebih-lebih lagi apabila terpaksa membuat 'dek' apabila melalui depan kedai buku. 

Apa-apapun, saya tidak boleh berpatah balik. Saya harap saya kuat selama berpuasa ini. Paling penting, mencapai target untuk membaca suku atau separuh buku.