Showing posts with label catatan pengalaman. Show all posts
Showing posts with label catatan pengalaman. Show all posts

Sunday, 15 May 2016

BENGKEL PENULISAN FANTASI-THRILLER 2016

Bismillahirrahmannirahim…

Assalamualaikum W.B.T




Alhamdulilah, saya diberi peluang sekali lagi oleh Allah S.W.T untuk menghadirkan diri di sebuah bengkel penulisan iaitu Bengkel Penulisan Fantasi-Thriller yang diadakan di Rumah Pena Kuala Lumpur bersamaan dengan 14 Mei 2016 dan dianjurkan oleh seorang Editor yang cukup berbakat besar, komited dan toleransi, Cik Puan Nor Liana Omar a.k.a Leanne Adam.

Saya cukup bertuah kerana menjadi salah satu peserta yang terpilih kerana bagi saya bengkel ini bersifat semua dalam satu. Dalam bengkel ini yang disampaikan secara santai dan lebih banyak bersoal jawab, kami diterangkan cukup banyak tentang teknik penulisan, hak penulis, dunia penerbitan, kesedaran dari segi nilai-nilai positif dan sebagainya tentang penulisan.

Bengkel ini lebih memfokuskan tentang penulisan ‘cereka’ untuk genre Fantasi-Thriller. Sebelum ini, saya anggap penulisan genre ini sama dengan penulisan genre-genre yang lain. Tapi semalam, baru saya tahu, genre ini memerlukan satu ketelitian yang cukup mendalam. Lebih-lebih lagi dari segi ilmu pengetahuan dan logik. Penulis perlu bersungguh-sungguh membuat kajian. Dengan kajian yang sambil lewa mungkin dapat mencacatkan karya kita jika kita memilih menulis genre ini.

Walaubagaimanapun, dalam penulisan genre ini, kita perlu bijak untuk mengolah fakta yang kita tahu untuk tidak jadikan ia satu karya yang bercelaru dan sukar difahami. Lagipun, kita menggunakan konsep ‘Fiksyen’ iaitu antara gaya penulisan yang tidak terlalu berat untuk pembaca. Selain itu, bila disentuh tentang isu pemilihan nama pena yang sesuai dan menarik, saya tertarik dengan satu pesanan oleh Cik Puan Nor Liana Omar iaitu “Biarlah buku yang menjual nama kita, jangan nama yang menjual buku kita”. Pesanan ini bermaksud, isu nama pena adalah satu isu yang kecil namun sebenarnya apa yang penulis perlu utamakan ialah konten dalam sesebuah karya yang kita hasilkan. Adakah konten kita itu menarik dan membawa mesej yang baik.

Satu sesi perkongsian bersama seorang penulis yang bukan calang-calang iaitu Maya Iris yang telah melahirkan karya-karya hebat seperti Konspirasi Suami, Mahar Cinta Cinderella, Curahan Cinta Niagara dan Kuseru Namamu Kekasih banyak juga berkongsikan teknik penulisan yang beliau gunakan. Satu yang saya tertarik melalui karya beliau adalah beliau banyak menggunakan rujukan dan pendekatan melalui Al-Quran. Saya cukup kagum. Disitu saya sedar, di dalam Al-Quran sendiri kita tahu banyak cerita, penerangan dan peristiwa, Maya Iris berjaya menjadikan atau mengolahkan ia menjadi satu bentuk penulisan Fiksyen yang tidak berat dan berjiwa santai. Saya sangat suka dan mahu cuba mempraktikkannya. 

Pengisian bengkel ini juga, penulis diterangkan serba sedikit tentang hak cipta, kontrak, penerbitan sendiri dan sebagainya. Disini, kami sedari bahawa kami perlu berhati-hati mensain kontrak dan tentang hak-hak penulis yang sebenarnya.


Bengkel ini lebih menjadi menarik apabila sesi terakhir kami dapat bersama dengan seorang Penulis Genre Fantasi-Thriller yang cukup berbakat besar iaitu Ahmad Patria Abdullah atau dengan panggilan mesranya ‘Abang Pat’. Dengan perkongsian yang cukup santai dan humor, kami diberi cukup banyak pesanan yang sangat berguna untuk kami sebagai penulis. Antaranya ialah :

1. Keikhlasan dalam menulis.

2. Menulis apa yang kita mahukan.

3. Belajar melalui kritikan (pengalaman beliau, beliau banyak mendapat kritikan daripada ayahanda beliau sendiri)


4. Teruskan saja menulis walau kita rasa karya kita tidak bagus dan kadangkala rasa ragu-ragu

5. Menghantar karya pada yang tahu menilai dan tidak berbahasa kasar dan kesat yang menjadi pembunuh semangat kita.

6. Kena mula menulis dari sekarang dan terus berkembang.

7. Apabila tiada ilham, banyakkan membaca dan banyak menonton filem.

8. Perlu bersemangat untuk penulis (lebih selamat, jangan bertangguh. Jangan tunggu)

9. Ketabahan untuk menulis.

10. Usaha menulis satu hari, satu muka surat sekurang-kurangnya.

11. Menulis bukan pasal duit dan permintaan, WE ARE BORN TO DO THIS THING.

12. Writers is a fighter. Fighting spirit kena ada.

13. Jangan pernah berhenti.

14. Untuk menghasilkan karya yang bagus, belajar dengan penulis yang kita minat. (beliau belajar banyak dari penulis barat, Tolkien)

15. Jangan terlampau detail, ‘Don’t say 10 words if you can use in 1 word’

16. Less is more

17. Keaslian cerita kita.

18. Gunakan bahasa persuratan. (Rujukan terbaik : PRPM (Pusat Rujukan Persuratan Melayu)

19. Menulis ikut gerak hati

20. Menulis secara natural. Tiada niat tertentu.

21. Pemilihan nama watak sangat penting. (Do Research)

22. Jangan gunakan bahasa dedatik.

23. Menulis di tempat yang sesuai dan selesa. (Terpulang pada penulis)


Beliau banyak juga menegaskan dari segi keikhlasan dan semangat waja seorang penulis.

Alhamdulilah, bengkel ini keseluruhannya banyak memberi impak positif dan kesedaran pada saya. Saya yang sangat baru dalam bidang ini juga dapat menimba ilmu dengan banyak sekali. Malahan, dapat bergaul dengan rakan peserta yang merupakan penulis yang hebat-hebat juga. Semangat saya semakin kuat dan semoga dengan ini saya juga dapat menjadi seorang penulis yang ikhlas dan berjiwa kental seperti rakan-rakan yang lain.


Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat. Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati sahabat semua. 



Sunday, 8 May 2016

BENGKEL PENULISAN BONDA NOR 2016




Alhamdulilah, pada 8 Mei 2016 bersamaan Hari Ahad saya berpeluang menghadiri Bengkel Penulisan Bonda Nor yang diadakan di Surau Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi.

Secara jujur, saya hampir menarik diri daripada bengkel ini. Mungkin kerana saya mempunyai ‘social phobia’. Saya terlalu memikirkan apa yang orang fikir dan rasa tentang saya. Saya seorang yang amat pendiam dan mengambil masa untuk rapat dengan seseorang. Atas pengalaman yang saya lalui, kerana sifat saya ini sesetengah orang jadi kurang selesa dengan saya. Jadi saya sangat fobia dan takut.

Namun, suami saya telah menasihati dan menyarankan saya untuk menunaikan Solat Sunat Istikharah untuk meminta petunjuk daripada Allah swt dan saya lakukan apa yang disarankan. Apa jadi? MashaAllah… saya mendapat impak yang sangat positif melalui bengkel ini. Allah menggerakkan hati saya untuk kuat menyertai bengkel ini kerana mahu saya memperolehi satu kenikmatan yang cukup besar dan untuk saya mempelajari dan dikongsi ilmu oleh insan-insan yng cukup istimewa dan disayangi Allah dan  benarlah petunjuk Allah itu memberi satu kepuasan dan kebaikan serta hikmah. Pergantungan dan kekuatan hakiki itu adalah dari Allah SWT semata. Terima kasih Ya Allah.

Saya sifatkan Bengkel Penulisan Bonda Nor ini 2 dalam 1. Selain diberi perkongsian tentang ilmu penulisan. Kami juga peserta mendapat ilmu dan peringatan dari sudut Rohaniah. Antaranya ialah memperbetulkan niat apabila menulis(Muahadah). Selain itu, adalah kesungguhan(Mujahadah) kita menjadi penulis. Apa yang boleh dilakukan. Antara yang dicadangkan adalah melakukan Solat Sunat Hajat.




Kami juga dididik untuk menjadi penulis yang sentiasa menulis perkara yang baik-baik, tidak ada unsur yang memudaratkan diri sendiri (lucah misalannya), perkara ini jadi mudah dan terkawal apabila kita merasakan diri kita diawasi(Muraqabah). Bila kita menulis perkara yang tidak baik, bukan saja kita mendapat impak negative di dunia, malah kita mendapat balasan berpanjangan hingga ke akhirat nanti. Selain itu, kami juga dididik supaya menjadi penulis yang sentiasa merenung diri(Muhasabah) dan memperbaiki dir sendiri(Muaqabah).  Dan banyak lagi ilmu yang masih tidak saya kongsikan di sini. InshaaAllah... next post ok. :)

Sepanjang bengkel ini, kami juga dikongsi pengalaman dan ilmu dari Para Penulis hebat yang diantaranya ialah Cik Rahmah Moktar, Tuan Ammar Kamilin, Tuan Abdul Muiez Ruslee, Tuan Dr Mohd Khamizi Aziz, Cik Puan Siti Malini Mat dan slot terakhir yang dikendalikan oleh 'Bapa Viral Kebangsaan' iaitu Tuan Khairul Hakimin Muhammad. 




(Malangnya, gambar ini saja yang saya sempat ambil memandangkan terlalu khusyuk. Hehe.)

Alhamdulilah, dapat beramah mesra bersama semua peserta yang terdiri daripada penulis dan bakal penulis yang hebat dan ‘mesra alam’ sedikit banyak meningkat keyakinan dan memberi impak yang sangat positif pada saya. Seakan masalah-masalah saya hilang serta merta. Kami juga saling bertukar-tukar cenderamata.



Saya mengambil peluang ini juga untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Bonda Nor kerana menganjurkan bengkel ini dan berkongsi ilmu dengan kami. Alhamdulilah, dengan keikhlasan dan kesungguhan Bonda Nor, segala mesej yang disampaikan diterima seratus peratus dan mudah difahami. Saya juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua AJK yang turut menjayakan bengkel ini. Mudah-mudahan segalanya diberkati dan diredhai Allah. Saya tunggu next Bengkel Penulisan Bonda Nor. Hehe...

Salam Ukhuwah dan sayang daripada saya. Terima kasih sekali lagi.



(Sedihnya, saya terlupa bawa duit. Rasa geram je tak dapat beli buku-buku dan mendapat autograph dari penulis-penulis. Takpalah… ada rezeki di lain  hari. Saya sentiasa menyokong semuanya.)








Thursday, 28 April 2016

NOVEL PERTAMA ~ TEMAN TERULUNG ~


Ini adalah novel pertama yang saya tulis dalam masa 2 tahun dan berjaya disiapkan pada tahun 2013. Tidak diterbitkan dalam bentuk buku. Saya memilih untuk menerbitkannya di laman web Wattpad. Saya akui saya jatuh cinta dengan novel ini. Bukan kerana ia bagus atau lain daripada lain tapi saya begitu dekat dengan watak-wataknya walaupun ia adalah ciptaan saya sendiri.

Raihanah dan Nadhirah yang merupakan watak utama dan sahabat baik berjaya menceriakan hidup saya. Sehingga bila selesai saya menulis novel ini, saya begitu sedih kerana seolah-olah saya mahu meninggalkan mereka. Novel ini memberi kesan yang amat bermakna pada saya. Saya dapat rasakan saya menulis dari dalam hati saya. Saya berjaya mencipta dunia mereka. Akan tetapi, novel ini masih kurang dari segi tatabahasa yang betul dan susunan ayat yang baik.

Namun, Saya merancang untuk mengedit semula dan jika ada rezeki saya mahu cuba menghantar di syarikat penerbitan yang sudi menerima.

Raihanah, Nadhirah... i miss you both so much~

Semoga kisah mereka dapat dibaca oleh semua. 

Tuesday, 26 April 2016

BERMULANYA SAYA MEMAKAI NIQAB

Assalamualaikum w.b.t

Bismillahirahmannirrahim...

Coretan ini hanyalah untuk diri sendiri agar terus Istiqamah dengan pilihan saya sendiri. Sedikit harapan untuk semua menjadikan ia satu pilihan juga.

Saya bukan pelajar sekolah agama atau seorang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi. Saya hanya hamba Allah yang biasa, yang sering juga melakukan kesilapan yang sama. Seorang yang ingin berubah namun kadangkala sering leka.

Dari seorang yang bergaya dan 'rugged', saya membuat keputusan untuk bertudung labuh. Walaupun ada segelintir yang tidak setuju dengan penampilan ini atas alasan 'out to date' dan masih muda. Ada juga yang menuduh, saya berubah begini kerana seorang lelaki. Saya biarkan saja. Sebelum memilih penampilan saya sekarang, wanita yang memakai jubah dan bertudung labuh amat menarik perhatian saya. Sejuk mata memandang. Mulai saat itu, niat di hati memang sudah lama mahu berpenampilan begitu juga.

Saya mohon janganlah menyalahkan penampilan ini jika ada perangai atau silap saya tidak kena pada gaya. Yang salah adalah diri saya sendiri. Kemudian, saya mengambil keputusan untuk pergi ke tahap seterusnya. Walaupun, mula-mula rasa macam kekok tapi selepas mencubanya saya amat jatuh cinta,

Mulanya, saya cuba memakai niqab apabila saya berjalan bersendirian. Masa itu saya belum berkahwin. Saya bukanlah antara wanita yang cantik. Namun, apabila memakai niqab saya rasa keselesaan yang luar biasa. Terutamanya, kaum lelaki tidak memandang saya. Saya bukan menuduh mereka golongan mata keranjang. Tapi, ini adalah hakikat. Niqab antara salah satu cara terbaik untuk kita melindungi wajah kita daripada dipandang lelaki ajnabi. Dengan ini, secara tidak langsung, kita juga jauh daripada fitnah.

Selain iu, bila memakai niqab, serta merta saya dapat melindungi diri dan hati saya sendiri. ia seumpama memberi saya peringatan untuk saya berhati-hati menjaga perlakuan dan percakapan.

Sungguh indah, saya bersyukur kerana Allah bukakan hati saya untuk berpenampilan seperti ini.

Walaupun, boleh dikatakan bukan "fulltime" saya memakai niqab di atas permintaan seseorang namun saya tetap punyai cita-cita untuk memakainya kemana saja saya pergi. Perubahan tidak perlu mendadak, bukan?

Alhamdulilah dan InshaaAllah...

Tuesday, 26 January 2016

HIKMAH KERETA ROSAK

Hari Ahad yang lepas saya serta suami diuji. Kereta kami rosak di tengah highway berhampiran dengan tol nilai dalam perjalanan kami dari Melaka ingin pulang ke Selangor. Cuaca begitu panas pada hari itu. Perasaan bimbang dan cemas dalam diri kami. Bukan sahaja, enjin kereta termati secara tiba-tiba malah ditambahi dengan asap dibahagian enjin. Kami juga bimbang jika ada sesiapa berniat tidka baik menganggu kami disana. Emosi dan fikiran kami sedikit sebanyak terganggu dnegan pelbagai perasaan. terutamanya saya. Emosi dan perempuan tidak boleh dipisahkan.

Namun, saya puji suami saya dalam mengawal emosinya. Dia tentu saja boleh naik angin dan marah-marah kerana dia yang memandu kereta. Lebih-lebih waktu itu adalah waktu petang. Pasti saja dia sedang melawan mata kerana rasa mengantuk sejak awal lagi. Tambahan lagi, tampak wajahnya kepenatan. Tapi, sebaliknya dia masih mampu bertenang dan kadang tersenyum.

Saya juga memilih untuk diam. Walau gagal untuk senyum. Saya cuba mengawal emosi saya. Ya... kita harus redha. Allah saja yang tahu apa yang akan berlaku dan apa hikmahnya di setiap kejadian. Sementara , kami menunggu pihak bantuan PLUS yang telah kami hubungi, saya terduduk. Allah saja yang tahu begitu rasa penatnya saya pada masa itu. Dalam keadaan yang panas, suami saya membuka blazernya dan melindungi belakang badan saya. Ya Allah... semoga suami saya memperolehi cahaya rahmat dna iman dalam hatinya.

Selain itu, Allah juga menghantarkan bantuan. Seorang lelaki cina yang merupakan 'pomen' turut membantu kami. Dari dia, kami diberitahu tentang punca dan masalah kereta kami yang rosak. Seterusnyaa, kereta kami ditarik hingga ke tol nilai dan dari situ pula kami meminta bantuan  pihak tarik kereta yang merupakan kenalan abang kandung saya untuk menarik kereta kami sehingga ke rumah.

Syukur Alhamdulilah... semuanya selesai dan berakhir dengan lancar.

Hikmah yang saya perolehi dalam kejadian ini ialah kadang-kadang segala kekurangan berlaku dari diri kita sendiri, akibat kecuaian kami untuk memeriksa keadaan kereta sebelum memulakan perjalanan merupakan punca utama.(Jadikan pengajaran, ya?) Selain itu, segala dugaan dan cubaan itu tanda Allah mahu menguji keredhaan kita pada takdir yang ditentukan. Adakah masa itu kita mampu bersangka baik dengan Allah? Dengan dugaan dan cubaan ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan suami isteri jika masing-masing boleh saling membantu dan memahami. Saya juga terharu dengan tindakan abang kandung saya yang menolong kami dan sanggup mengeluarkan duit demi membantu kami. Banyak sekali hikmahnya, bukan?

Thursday, 21 January 2016

ALAM KANAK-KANAK RIBENA

Siapa tidak suka kanak-kanak? Siapa yang tidak sayang pada kanak-kanak? Wajah mereka yang comel serta gelagat mereka yang mencuit hati sentiasa menggembirakan hati kita. Senyum dan tawa mereka yang kita impikan. Mereka tiada dosa. Suci disisi Allah. Mereka sangat istimewa.

Selama 3 tahun berada di alam mereka dihiasi dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Pandangan mereka di luar sana akan bidang prasekolah ini satu bidang yang mudah. Bagi mereka, kami sebagai guru, hanya setakat mengajar  dan menjaga. Tidak hairan, saya sudah banyak kali menerima kenyataan seperti ini apabila saya mengadu penat. “Apa yang penat sangat ajar dan jaga budak. Kalau diorang degil, marah sajalah.”
 
Tapi tidak semudah yang dikatakan dan difikirkan. Kami bukan saja menggunakan fizikal kami malah kami menggunakan mental dan emosi kami sekali. Saya hanya mampu menjawab, “Bayangkan satu budak mewakili sepuluh orang budak”.

Berurusan mereka, kami harus bijak dalam mengawal emosi. Kami dikira berjaya jika kami berjaya bersabar, positif dan sentiasa melayani mereka dengan lembut dan penuh kasih sayang. Terus terang, saya meletakkan diri saya sebagai seorang yang kalah. Banyak kali juga saya terlajak memarahi mereka. Apakan daya, saya hanya manusia biasa. Namun, sebenarnya dalam hati sangat sayang akan mereka. Mereka sudah dianggap seperti anak-anak sendiri. Boleh jadi rindu apabila berjauhan dengan mereka. Leih-lebih lagi bila hari minggu. Keriuhan mereka sangat dirindui.

Walaupun mereka tergolong dari golongan kanak-kanak hiperaktif, mereka tiada dosa. Mereka masih berada dalam dunia mereka yang penuh dengan keceriaan. Mereka juga sedang melalui proses pembelajaran. Oleh itu, terlalu banyak kesalahan yang akan dilakukan. Tugaslah kita yang harus mendidik dan membimbing mereka. Menegur mereka dengan cara yang paling berhikmah.

Ikutilah cara nabi junjungan kita, Rasulullah s.a.w yang sentiasa melayani kanak-kanak dengan penuh keceriaan, kelembutan, kesabaran dan sentiasa tersenyum. Baginda tidak pernah menghalang kanak-kanak bermain dan menghayati zaman kanak-kanak mereka. Satu kisah lagi yang boleh kita teladani, baginda tidak marah dan tegur apabila salah seorang daripada cucu baginda yang menaiki badan baginda semasa baginda sedang bersujud ketika menunaikan solat.

Sayangilah kanak-kanak dan berusaha mendidik mereka. Saya mengambil peluang lagi untuk mengingati para ibu bapa akan menyekat penggunaan gajet terhadap anak-anak juga menyekat anak-anak dari asyik menonton program-program tivi seperti Ultraman, Spiderman, Batman, Iron Man, Naruto, Bleach dan seumpamanya. Ini kerana ia hanya memberi kesan yang negative pada anak-anak seperti anak-anak akan menjadi lebih agresif. Selain itu, program ini terdapat banyak propaganda tertentu. Program-program tersebut juga banyak berunsurkan elemen-elemen lucah yang mampu merangsang pemikiran anak-anak.


Pilihan di tangan anda. Ajarilah mereka melihat dan menonton program-program Islamiah yang membawa kepada kebaikan. Ibu bapa juga boleh menyediakan satu jadual waktu dan peraturan tegas tentang penggunaan tivi dan gajet. Fikirkanlah demi anak-anak untuk generasi yang akan datang.





KENALAN DI TANGKUBAN PARAHU

Teringat pula kenangan semasa bercuti ke Negara Indonesia bersama keluarga beberapa tahun yang lepas. Bukan saja dianugerahi rasa seronok dan gembira. Malah, banyak pengajaran yang dapat dipelajari melalui pemerhatian.

Keadaan jalan raya di Bandar Jakarta sentiasa sesak sepanjang masa. Kenderaan berjarak dekat antara satu sama lain. Seolah-olah hampir terhimpit tapi Alhamdulilah tiada kemalangan yang berlaku. Ditambahi dengan bunyi ‘hon’ kereta yang meriuhkan lagi suasana. Saya fikir kalau di Malaysia, tentu saja pengguna-pengguna jalan raya akan naik mengamuk. Mungkin saja boleh bertelingkah antara satu sama lain walau di tengah-tengah jalan raya. Diperhati orang ramai. Tapi di sana, rakyatnya masih punya rasa hormat dan toleransi. Saya tidak kata rakyat Malaysia semua begitu. Namun, segala yang berlaku kita jadikan satu peringatan. Kebanyakan rakyat Indonesia di sana kaya dengan budi bahasa dan keramahan. Lelaki, perempuan, warga muda dan warga tua semuanya menggunakan pertuturan yang sangat lembut dan sopan. Mereka tidak angkuh. Alhamdulilah! Saya diberi peluang bertemu dengan mereka.

Walau rasa rimas dengan peniaga-peniaga di tepi jalanan yang sentiasa mengekori dan memaksa kita membeli barangan mereka. Namun, semangat dan kesungguhan mereka membuatkan saya rasa kagum dan malu dengan diri sendiri. Mereka tidak marah dan tidak tampak kecewa jika kita bekeras tidak mahu membeli barangan mereka. Mungkin kerana keyakinan mereka terhadap rezeki Allah berikan melebihi segala. Mereka tergolong dari orang-orang tua, dewasa, remaja dan kanak-kanak kecil. Semua itu tidak menghalang mereka untuk sentiasa bangkit dan berusaha dalam hidup. Teringat pula akan lagu dari band Indonesia ‘D’Masiv’ yang mempopularkan lagu ‘Jangan Menyerah’. Muzik videonya betul-betul memaparkan kisah hidup di Negara Indonesia.

Saya sentiasa mengingati jelas memori di Tangkuban Parahu, Bandung. Tangkuban Parahu adalah tempat kunjungan orang ramai dimana di sana kita dapat menyaksikan kebesaran Allah Taala. Gunung berapi yang pernah meletus lamanya sehingga meninggalkan kesan sejarah pada rakyat Indonesia malah seluruh dunia. Di sana pengunjung berpeluang untuk menaiki ke puncak gunung untuk melihat kawah yang didalamnya terdapat air panas dan lumpuh yang menggelegak secara jelas. Ada juga pengunjung yang membeli telur dan memasaknya di kawasan permukaan gunung yang panas.

Kasim, seorang peniaga jalanan berumur 21 tahun. Tekad sungguh dia memaksa ibu saya untuk membeli tasbih yang dijualnya. Katanya, batu tasbih tersebut adalah batu mahal. Memang cantik. Namun, pujukannya masih tidak Berjaya. Ibu saya terpaksa tidak menghiraukannya walaupun dia mula mengekori kami sekeluarga. Saya sempat mengambil peluang mejadi detektif tidak bertauliah. Saya menanyakan dia pelbagai soalan. Alhamdulilah, dia turut melayan saya dengan baik dan menjawab semua soalan saya seperti seorang kawan.
Dia begitu selesa menceritakan kisah hidupnya dengan saya. Rupanya Kasim sudah beristeri  dan mempunyai anak comel berusia setahun. Ceritanya, dia selalu mahu menjual barangannya habis dengan cepat kerana merindui mereka yang menunggu dirumah. Pernah juga dia terpaksa hingga lewat malam mencari rezeki demi mencari makan untuk keluarga. Rasa tanggungjawab sebagai ketua keluarga tidak membenarkan isterinya bekerja. Biarlah dia seorang saja mencari makan mereka sekeluarga.

Apa yang membuatkan saya lebih sayu, Kasim berkeinginan untuk menyambung pengajian. Dia minat untuk mempelajari lebih lagi dalam bidang agama. Namun, kesesakan hidupnya menghalang niat dan cita-citanya itu. Kedengaran nada suara tabah dan redha.
Rezeki miliknya, ibu saya yang tidak langsung mendengar perbualan kami tadi akhirnya membeli juga tasbih yang dijualnya itu. Saya mengagak, dia akan terus beredar dari situ. Tapi tidak, dia terus berbual dengan saya dan kami juga saling berkongsi. Malah, pelbagai nasihat yang diberikan pada saya. Terutamanya peringatan tentang rasa syukur saya diberi rezeki oleh Allah dapat menyambung pengajian saya. Peluang itu datang dari Allah, namun boleh pergi sekiranya kita tidak menjaga dengan baik.

Masa mencemburui kami, tiba masa saya dan keluarga harus beredar dari situ untuk melawat ke tempat lain. Perkenalan saya dengan Kasim juga berhenti sampai disitu. Dia menghantar kami hingga ke van persiaran yang kami naiki. Saya sempat menghulurkan wang buat belanja isteri dan anaknya. Tidak seperti yang saya agak juga, dia tidak mahu menerima wang itu. Bukan tolak rezeki, namun biarlah hasil pendapatannya daripada hasil titik peluhnya sendiri.
SubhanAllah, sehingga kini, dari jauh saya sentiasa mendoakan Kasim sekeluarga sentiasa dilindungi Allah, diberikan anugerah kebahagiaan, dilimpahi rezeki yang banyak dan mendapat rahmat Iman. Aamiin.













PERMULAAN


Sehijau Warna Daun adalah buku Antologi Sastera Bahasa Melayu yang digunakan pelajar Tingkatan satu untuk subjek Bahasa Melayu di seluruh negeri Melaka, Johor dan Negeri Sembilan. Isinya mengabungkan kompilasi Puisi Tradisional, Prosa Tradisional, Sajak, cerpen dan Skrip drama yang harus dipelajari dan dikaji pelajar-pelajar.

Bagi saya, buku ini adalah satu memori. Satu sejarah. Sejarah permulaan saya meminati dunia penulisan. Lebih-lebih lagi di bahagian skrip drama. Amat terkesan di hati saya apabila saya mula menulis walaupun tidak begitu baik. Namun, saya dapat rasai satu perasaan yang amat menyenangkan hati saya. Lebih-lebih lagi, apabila saya menulis, seolah-olah saya berada dalam dunia saya sendiri. Minat ini menjadi satu cita-cita. Ia sentiasa mengalir dalam diri saya sehingga kini. Walaupun penulisan saya tidak lah begitu baik dan professional seperti penulis-penulis tersohor di luar sana. Tetapi, ia langsung tidak menghalang saya untuk terus menulis dan belajar lebih lagi dalam bidang penulisan.


Alhamdulilah… Allah berikan rasa nikmat kepada saya untuk kebolehan ini. Walaupun masih merangkak. InshaaAllah, saya yakin Allah berikan saya anugerahi ini hanya kerana untuk kebaikan dan satu amanah yang belum saya langsaikan.


Sehijau Warna Daun, permulaan saya melangkah dalam dunia penulisan.