Showing posts with label catatan harian. Show all posts
Showing posts with label catatan harian. Show all posts

Sunday, 15 May 2016

BENGKEL PENULISAN FANTASI-THRILLER 2016

Bismillahirrahmannirahim…

Assalamualaikum W.B.T




Alhamdulilah, saya diberi peluang sekali lagi oleh Allah S.W.T untuk menghadirkan diri di sebuah bengkel penulisan iaitu Bengkel Penulisan Fantasi-Thriller yang diadakan di Rumah Pena Kuala Lumpur bersamaan dengan 14 Mei 2016 dan dianjurkan oleh seorang Editor yang cukup berbakat besar, komited dan toleransi, Cik Puan Nor Liana Omar a.k.a Leanne Adam.

Saya cukup bertuah kerana menjadi salah satu peserta yang terpilih kerana bagi saya bengkel ini bersifat semua dalam satu. Dalam bengkel ini yang disampaikan secara santai dan lebih banyak bersoal jawab, kami diterangkan cukup banyak tentang teknik penulisan, hak penulis, dunia penerbitan, kesedaran dari segi nilai-nilai positif dan sebagainya tentang penulisan.

Bengkel ini lebih memfokuskan tentang penulisan ‘cereka’ untuk genre Fantasi-Thriller. Sebelum ini, saya anggap penulisan genre ini sama dengan penulisan genre-genre yang lain. Tapi semalam, baru saya tahu, genre ini memerlukan satu ketelitian yang cukup mendalam. Lebih-lebih lagi dari segi ilmu pengetahuan dan logik. Penulis perlu bersungguh-sungguh membuat kajian. Dengan kajian yang sambil lewa mungkin dapat mencacatkan karya kita jika kita memilih menulis genre ini.

Walaubagaimanapun, dalam penulisan genre ini, kita perlu bijak untuk mengolah fakta yang kita tahu untuk tidak jadikan ia satu karya yang bercelaru dan sukar difahami. Lagipun, kita menggunakan konsep ‘Fiksyen’ iaitu antara gaya penulisan yang tidak terlalu berat untuk pembaca. Selain itu, bila disentuh tentang isu pemilihan nama pena yang sesuai dan menarik, saya tertarik dengan satu pesanan oleh Cik Puan Nor Liana Omar iaitu “Biarlah buku yang menjual nama kita, jangan nama yang menjual buku kita”. Pesanan ini bermaksud, isu nama pena adalah satu isu yang kecil namun sebenarnya apa yang penulis perlu utamakan ialah konten dalam sesebuah karya yang kita hasilkan. Adakah konten kita itu menarik dan membawa mesej yang baik.

Satu sesi perkongsian bersama seorang penulis yang bukan calang-calang iaitu Maya Iris yang telah melahirkan karya-karya hebat seperti Konspirasi Suami, Mahar Cinta Cinderella, Curahan Cinta Niagara dan Kuseru Namamu Kekasih banyak juga berkongsikan teknik penulisan yang beliau gunakan. Satu yang saya tertarik melalui karya beliau adalah beliau banyak menggunakan rujukan dan pendekatan melalui Al-Quran. Saya cukup kagum. Disitu saya sedar, di dalam Al-Quran sendiri kita tahu banyak cerita, penerangan dan peristiwa, Maya Iris berjaya menjadikan atau mengolahkan ia menjadi satu bentuk penulisan Fiksyen yang tidak berat dan berjiwa santai. Saya sangat suka dan mahu cuba mempraktikkannya. 

Pengisian bengkel ini juga, penulis diterangkan serba sedikit tentang hak cipta, kontrak, penerbitan sendiri dan sebagainya. Disini, kami sedari bahawa kami perlu berhati-hati mensain kontrak dan tentang hak-hak penulis yang sebenarnya.


Bengkel ini lebih menjadi menarik apabila sesi terakhir kami dapat bersama dengan seorang Penulis Genre Fantasi-Thriller yang cukup berbakat besar iaitu Ahmad Patria Abdullah atau dengan panggilan mesranya ‘Abang Pat’. Dengan perkongsian yang cukup santai dan humor, kami diberi cukup banyak pesanan yang sangat berguna untuk kami sebagai penulis. Antaranya ialah :

1. Keikhlasan dalam menulis.

2. Menulis apa yang kita mahukan.

3. Belajar melalui kritikan (pengalaman beliau, beliau banyak mendapat kritikan daripada ayahanda beliau sendiri)


4. Teruskan saja menulis walau kita rasa karya kita tidak bagus dan kadangkala rasa ragu-ragu

5. Menghantar karya pada yang tahu menilai dan tidak berbahasa kasar dan kesat yang menjadi pembunuh semangat kita.

6. Kena mula menulis dari sekarang dan terus berkembang.

7. Apabila tiada ilham, banyakkan membaca dan banyak menonton filem.

8. Perlu bersemangat untuk penulis (lebih selamat, jangan bertangguh. Jangan tunggu)

9. Ketabahan untuk menulis.

10. Usaha menulis satu hari, satu muka surat sekurang-kurangnya.

11. Menulis bukan pasal duit dan permintaan, WE ARE BORN TO DO THIS THING.

12. Writers is a fighter. Fighting spirit kena ada.

13. Jangan pernah berhenti.

14. Untuk menghasilkan karya yang bagus, belajar dengan penulis yang kita minat. (beliau belajar banyak dari penulis barat, Tolkien)

15. Jangan terlampau detail, ‘Don’t say 10 words if you can use in 1 word’

16. Less is more

17. Keaslian cerita kita.

18. Gunakan bahasa persuratan. (Rujukan terbaik : PRPM (Pusat Rujukan Persuratan Melayu)

19. Menulis ikut gerak hati

20. Menulis secara natural. Tiada niat tertentu.

21. Pemilihan nama watak sangat penting. (Do Research)

22. Jangan gunakan bahasa dedatik.

23. Menulis di tempat yang sesuai dan selesa. (Terpulang pada penulis)


Beliau banyak juga menegaskan dari segi keikhlasan dan semangat waja seorang penulis.

Alhamdulilah, bengkel ini keseluruhannya banyak memberi impak positif dan kesedaran pada saya. Saya yang sangat baru dalam bidang ini juga dapat menimba ilmu dengan banyak sekali. Malahan, dapat bergaul dengan rakan peserta yang merupakan penulis yang hebat-hebat juga. Semangat saya semakin kuat dan semoga dengan ini saya juga dapat menjadi seorang penulis yang ikhlas dan berjiwa kental seperti rakan-rakan yang lain.


Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat. Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati sahabat semua. 



Wednesday, 11 May 2016

TIPS MEMBINA PROFIL KARAKTER

Assalamualaikum w.b.t

Bismillahirahmannirahim...

Baru saja selesai menonton cenel seorang penulis barat di laman web YOUTUBE yang bernama Jenna Moreci yang berkongsikan bagaimana untuk kita membina profil sesuatu karakter untuk karya yang kita hendak tulis nanti.

Alhamdulilah, banyak juga yang dikongsikan oleh penulis berikut yang saya rasa tidak rugi jika kita menggunakannya. Menulis karya tanpa memahami watak-watak yang kita cipta mampu menyekat idea untuk menulis. Seterusnya kita akan mengalami 'Writer's Block' yang berterusan.

Karakter adalah asas bagi sesuatu karya. Amat penting kita memahami watak yang kita cipta sebelum kita menulis kisah mereka. Banyak ciri-ciri yang perlu kita pandang untuk sesuatu watak itu.

Antara tips-tips yang dikongsikan untuk membina profil karakter ialah :

A) Status

1. Jantina

2. Umur

3. Budaya, Keturunan dan etnik

4. Ketinggian

5. Bentuk/jenis tubuh 

6. Penampilan

7. Asal usul watak/ dimana dia tinggal?



B) Perhubungan

1. Perhubungan dengan famili.

- contohnya, macam mana perhubungan watak dengan ibu dan ayahnya. Adakah watak mempunyai adik. Bagaimana hubungan dia dengan adik-beradiknya. Dan sebagainya.

2. Perhubungan dengan kawan-kawan



C) Sulit

1. Orientasi Seksual 

- Contohnya, adakah watak adalah kateogri straight, heterosexual atau homosexual dan sebagainya.

2. Ciri-ciri idaman yang watak suka terhadap lelaki/perempuan

- contohnya, jika watak adalah perempuan, apakah ciri-ciri yang dia suka pada seseoran lelaki. Misalannya, lelaki yang kurus dan berjanggut atau lelaki yang berbadan sado dan berambut jenis trojan. Dan sebagainya.

3. Pengalaman seksual

4. Pengalaman dalam perhubungan/percintaan



D) Kemahiran

1. Kemahiran

2. Pekerjaan/Akademik

3. Hobi



E) Ciri-ciri personaliti dan karakter

1. Introvert atau Extrovert

2. Menggunakan otak kiri atau kanan

3. Apakah kekuatan watak?

4. Kelemahan

5. Impian, matlamat dan aspirasi

6. Kerpercayaan

7. Ketakutan

8. Apakah ketidakyakinan watak?

9. Dia sanggup berkorban untuk siapa?

- Contohnya, dia sanggup berkorban dan melakukan apa saja untuk melindungi keluarganya. Lebih spesifik, siapa? Contohnya untuk maknya, adiknya atau sebagainya.

Inilah tips-tips yang boleh kita gunakan. Semoga dapat membantu. Untuk informasi lanjut, sahabat-sahabat boleh melawat tumblr Jenna Moreci  atau cenel Jenna Moreci di youtube.


Terima kasih kerana sudi membaca :)




Sunday, 8 May 2016

BENGKEL PENULISAN BONDA NOR 2016




Alhamdulilah, pada 8 Mei 2016 bersamaan Hari Ahad saya berpeluang menghadiri Bengkel Penulisan Bonda Nor yang diadakan di Surau Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi.

Secara jujur, saya hampir menarik diri daripada bengkel ini. Mungkin kerana saya mempunyai ‘social phobia’. Saya terlalu memikirkan apa yang orang fikir dan rasa tentang saya. Saya seorang yang amat pendiam dan mengambil masa untuk rapat dengan seseorang. Atas pengalaman yang saya lalui, kerana sifat saya ini sesetengah orang jadi kurang selesa dengan saya. Jadi saya sangat fobia dan takut.

Namun, suami saya telah menasihati dan menyarankan saya untuk menunaikan Solat Sunat Istikharah untuk meminta petunjuk daripada Allah swt dan saya lakukan apa yang disarankan. Apa jadi? MashaAllah… saya mendapat impak yang sangat positif melalui bengkel ini. Allah menggerakkan hati saya untuk kuat menyertai bengkel ini kerana mahu saya memperolehi satu kenikmatan yang cukup besar dan untuk saya mempelajari dan dikongsi ilmu oleh insan-insan yng cukup istimewa dan disayangi Allah dan  benarlah petunjuk Allah itu memberi satu kepuasan dan kebaikan serta hikmah. Pergantungan dan kekuatan hakiki itu adalah dari Allah SWT semata. Terima kasih Ya Allah.

Saya sifatkan Bengkel Penulisan Bonda Nor ini 2 dalam 1. Selain diberi perkongsian tentang ilmu penulisan. Kami juga peserta mendapat ilmu dan peringatan dari sudut Rohaniah. Antaranya ialah memperbetulkan niat apabila menulis(Muahadah). Selain itu, adalah kesungguhan(Mujahadah) kita menjadi penulis. Apa yang boleh dilakukan. Antara yang dicadangkan adalah melakukan Solat Sunat Hajat.




Kami juga dididik untuk menjadi penulis yang sentiasa menulis perkara yang baik-baik, tidak ada unsur yang memudaratkan diri sendiri (lucah misalannya), perkara ini jadi mudah dan terkawal apabila kita merasakan diri kita diawasi(Muraqabah). Bila kita menulis perkara yang tidak baik, bukan saja kita mendapat impak negative di dunia, malah kita mendapat balasan berpanjangan hingga ke akhirat nanti. Selain itu, kami juga dididik supaya menjadi penulis yang sentiasa merenung diri(Muhasabah) dan memperbaiki dir sendiri(Muaqabah).  Dan banyak lagi ilmu yang masih tidak saya kongsikan di sini. InshaaAllah... next post ok. :)

Sepanjang bengkel ini, kami juga dikongsi pengalaman dan ilmu dari Para Penulis hebat yang diantaranya ialah Cik Rahmah Moktar, Tuan Ammar Kamilin, Tuan Abdul Muiez Ruslee, Tuan Dr Mohd Khamizi Aziz, Cik Puan Siti Malini Mat dan slot terakhir yang dikendalikan oleh 'Bapa Viral Kebangsaan' iaitu Tuan Khairul Hakimin Muhammad. 




(Malangnya, gambar ini saja yang saya sempat ambil memandangkan terlalu khusyuk. Hehe.)

Alhamdulilah, dapat beramah mesra bersama semua peserta yang terdiri daripada penulis dan bakal penulis yang hebat dan ‘mesra alam’ sedikit banyak meningkat keyakinan dan memberi impak yang sangat positif pada saya. Seakan masalah-masalah saya hilang serta merta. Kami juga saling bertukar-tukar cenderamata.



Saya mengambil peluang ini juga untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Bonda Nor kerana menganjurkan bengkel ini dan berkongsi ilmu dengan kami. Alhamdulilah, dengan keikhlasan dan kesungguhan Bonda Nor, segala mesej yang disampaikan diterima seratus peratus dan mudah difahami. Saya juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua AJK yang turut menjayakan bengkel ini. Mudah-mudahan segalanya diberkati dan diredhai Allah. Saya tunggu next Bengkel Penulisan Bonda Nor. Hehe...

Salam Ukhuwah dan sayang daripada saya. Terima kasih sekali lagi.



(Sedihnya, saya terlupa bawa duit. Rasa geram je tak dapat beli buku-buku dan mendapat autograph dari penulis-penulis. Takpalah… ada rezeki di lain  hari. Saya sentiasa menyokong semuanya.)








Thursday, 5 May 2016

LATIHAN MENULIS BAHASA INGGERIS


Sumber yang saya dapat melalui laman sosial Facebook memanggil saya untuk menyahut cabaran ini. Memandangkan saya tidaklah berapa mahir menulis dalam Bahasa Inggeris. 

So, I'm in! :)

Alhamdulilah, suammi tercinta setuju untuk membantu serta menjadi cikgu dan editor secara tidak langsung. Ikuti penulisan yang telah saya tulis. Sahabat-sahabat boleh cari di ruang entri yang berlabel 'Latihan Menulis Bahasa Inggeris'

Sahabat-sahabat pun boleh mencabar diri selama 30 hari. Semoga berjaya :)

Tuesday, 3 May 2016

MOMEN BERSAMA SAHABAT

Antara perbualan saya dengan sahabat yang amat akrab dengan saya. Sangat dekat dalam hati saya. Sahabat yang tidak selalu saya jumpa. Perbualan kecil berkaitan dengan saya yang mengalami kebuntuan ilham untuk menulis. Sekadar perkongsian. Mana tahu boleh jadikan juga satu tips. 




Tuesday, 26 April 2016

UPDATE TERKINI GOODREADS

27/4/2016

Berbanding dari post update yang lepas, tidak banyak perubahan. Hanya 4 buah buku dapat saya habiskan setakat ini.


MENULIS SECARA KREATIF

Hari ini saya terjumpa buku Menulis Secara Kreatif keluaran dari Institut Terjemahan & Buku Malaysia di perpustakaan. Memanggil saya untuk meminjam buku ini kerana latihan-latihan yang diberikan amat menarik dan dapat memahirkan lagi penulisan saya.

Buku ini mengandungi 200 latihan yang boleh dijawab mengikut syarat dan kreativiti kita sendiri. Saya akan berkongsi setiap soalan latihan dan jawapan yang telah saya buat di blog ini setiap hari. Sahabat-sahabat boleh pilih label "Latihan Menulis Secara Kreatif"  dan bolehlah mencuba sekali. :)




Tajuk : Menulis Secara Kreatif

Harga : MYR 20.00

Keluaran : ITBM





Monday, 11 April 2016

UPDATE TERKINI GOODREADS

12/04/2016

Alhamdulilah... ada peningkatan. Saya berjaya menghabiskan beberapa buah buku. Saya akui dengan adanya perancangan masa membuatkan saya lebih lancar membaca buku. Contohnya, Untuk buku yang nipis saya mengambil masa dalam satu atau dua jam. Untuk buku yang sederhana tebalnya saya mengambil masa selama dua hari.

Namun, untuk beralih membaca buku yang baru bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Kadang-kadang, kita seolah-olah tidak bersedia dan boleh membuatkan minda kita terasa beku. Cadangan saya, ambil lah masa sebentar. Berapa lama? Terpulang pada diri masing-masing. Jika saya, saya mengambil masa yang lama juga, ada ketikanya sehingga satu hari. Apa yang lebih utama, bila kita rasa 'fresh'. Hati senang, semangat pun berkobar-kobar. 



Monday, 4 April 2016

PUASA BELI BUKU SELAMA 3 BULAN

Gara-gara 'Great Offer' yang ditawarkan oleh Kedai Buku Popular. Saya terjebak membeli lebih daripada sepuluh buah buku. Tawaran itu hanya untuk buku inggeris antarabangsa. Akibat terlalu minat dengan buku, susah untuk saya kawal untuk tidak membeli buku. Lebih-lebih lagi apabila berkunjung di kedai buku. 

Buku adalah sahabat saya.

Namun, akibat membeli banyak buku dalam satu masa atau dalam masa yang dekat. Saya gagal untuk membaca kesemua buku yang saya telah beli. Dan seperti yang saya katakan sebelum ini. Saya gagal merancang masa saya dalam seharian.

Oleh itu, saya bertekad untuk berpuasa membeli buku selama 3 bulan dan target untuk menghabiskan suku atau separuh buku-buku yang telah saya beli. 

Tidak mudah yang saya fikirkan sebenarnya. Sangat menyeksa jiwa dan raga. Lebih-lebih lagi apabila terpaksa membuat 'dek' apabila melalui depan kedai buku. 

Apa-apapun, saya tidak boleh berpatah balik. Saya harap saya kuat selama berpuasa ini. Paling penting, mencapai target untuk membaca suku atau separuh buku.

Friday, 25 March 2016

UPDATE TERKINI GOODREADS

25/03/2016

Buku menjadi sebahagian dalam hidup saya. Tidak membaca membuatkan saya rasa kehilangan sesuatu. Saya menggelarkan diri saya sebagai salah seorang 'Bibliophilia'. Bermaksud seorang pencinta buku. Ia menjadikan saya tidak dapat mengawal untuk membeli buku-buku baru. Obsesi pada buku barangkali. Tanpa disedari, tabiat ini sudah bermula sejak saya kecil lagi. Dimana saya sering meminta ibu saya membelikan buku. Alhamdulilah, ibu saya juga suka membelikan saya buku.

Believe me... i'm so addicted to scent of books. Tidak puas rasanya jika masuk ke dalam kedai buku tanpa menyedut aroma buku. Ia melahirkan rasa kepuasan hati yang sukar untuk difahami. Namun, sebelum ini saya mengambil masa yang lama untuk menghabiskan buku. Ini kerana saya gagal menguruskan masa saya dengan baik. Ada ketika, mengambil masa sehingga berbulan-bulan. Tahun ini saya mahu lakukan satu perubahan dan menjadikan ia lebih konsisten.

Saya sedia berikan komitmen apa saja yang berkaitan dengan buku.

Mujur ada Goodreads. Sebuah laman sesawang yang mengumpulkan pembaca dan pencinta buku berkongsikan senarai buku-buku yang sudah dibaca serta berpeluang untuk berkongsi alasan. Disitu juga adalah tempat terbaik untuk kita memilih buku yang bagus. Selain itu, ia menawarkan beberapa lagi kegunaan untuk para pembaca. Di sana ada ruangan untuk kita menulis karya dan banyak grup yang boleh kita sertai.

Antara yang menarik hati saya ialah 'reading challenge'. Saya meletakkan '50 buah buku' untuk saya hadam tahun ini. Lebih, lagi bagus. InshaaAllah. Buat masa ini, saya sudah berjaya membaca sebanyak 19 buah buku. Ulasan-ulasan buku yang saya telah baca, saya kongsikan juga di ruang entri 'review buku' dalam blog saya ini. Dialu-alukan anda untuk berkunjung dan memberi komen. :)





Tuesday, 26 January 2016

BUKAN MILIK KITA

Minggu ini adalah minggu kesembilan kehamilan saya. Hari ini saya mengalami pendarahan membuatkan saya sedikit hilang semangat dan sedikit risau.

Saya telah membuat pemeriksaan dari pakar sakit puan dari Klinik Kesihatan kerajaan. Disitu saya diberi maklumat bahawa kandungan saya di tahap 50/50. Kehamilan saya mungkin jadi ataupun sebaliknya. Dua minggu lagi adalah satu jawapan. Semua ini adalah ketentuan Allah.

Innalilah... ia adalah satu ujian yang berat buat saya. Dengan harapan yang saya sudah tanamkan. Rasa takut, sedih dan risau sentiasa bermain di fikiran saya. Air mata juga menjadi teman buat saat ini.

Rakan-rakan dan ahli keluarga menasihati untuk bersabar dan menerima ujian Allah ini. Bersangka baik kepada Allah.  InshaAllah, saya akan laluinya walau apa saja yang terjadi sekalipun. Ada rezeki atau tidak, saya tetap syukuri. 

Ia membuatkan saya tersedar satu perkara, semua disekeliling kita ini bukan milik kita malah diri kita, suami dan anak yang sedang dikandungkan ini juga bukan milik kita. Mereka sebenarnya milik Allah. Allah yang Maha Penyayang meminjamkan kepada kita. Dia saja tempat kita bergantung dan berharap. Semoga saya dan bakal anak soleh/solehah ini selamat dan sihat bawah rahmat Allah dan cahaya iman. 

Kita Prihatin?

Persembahan lagu 'Assalamualaikum Dunia' oleh Faizal Tahir dalam Anugerah Juara Lagu 2016 yang disiarkan secara langsung di TV3 dua hari lepas memberi kesan yang mendalam kepada diri saya. Seolah-olah saya baru tersedar dari mimpi yang diulik dengan kesenangan dalam hidup. Saya sering mengakui bahawa saya sangat prihatin terhadap mereka. Saya kisah dan peduli. Namun, difikirkan balik seolah-olah ‘cakap tak serupa bikin’.

Serangan terhadap mereka bagai tiada penghujungnya. Mereka ditindas setiap hari dan setiap masa. Kisah-kisah mereka yang terpampang di dunia berita dan laman sosial tidak putus-putus menyebabkan segelintirnya mungkin merasakan bosan dan tidak ambil kisah lagi. Kita sering memberi alasan yang kita tidak mampu membantu mereka melalui sumbangan apatah lagi tenaga.

Ayuh! Saya dan kita semua bangun dan bangkit semula. Bantulah mereka selagi ada kudrat. Sebenarnya macam-macam cara kita boleh menolong mereka. Sekarang terdapat banyak badan0badan NGO kemanusiaan yang ditubuhkan. Ambil masa untuk mendapatkan mereka kemudia kita berilah sumbangan semampu yang kita boleh. Biasanya yang selalu memberi ini, dia akan mendapat lebih banyak ganjaran dan rezeki. Tak percaya… cubalah. Tak banyak, sedekahkan RM1 di tabung surau. Kita akan dapat pulangan yang tak disangka-sangkakan. Kadang-kadang bukan melalui mata wang tapi sesuatu yang membuatkan kita rasa bersyukur dapat memperolehinya.

Selain itu, sekiranya kita bertenaga dan mempunyai kudrat, ambillah peluang untuk menyertai misi-misi bantuan dengan menjadi sukarelawan yang ditawarkan oleh badan-badan NGO. Dengan itu, kita mampu lagi memahami dan melihat keadaan mereka dengan mata kita sendiri. Apa yang saya perhatikan daripada mereka yang mempunyai pengalaman tersebut, mereka lebih mensyukuri apa adanya dan berhijrah ke arah yang lebih baik selepas pulang ke tanah air. Rebutlah peluang itu. Semoga kita ada rezeki satu hari nanti.

Apa yang penting adalah doa. Doa senjata mukmin. Cuba kita fikirkan, ada kah mereka dalam doa kita? Kita lupa? Ya, mungkin saja lupa. Kita boleh ubah, masih belum terlambat. Kita juga boleh amalkan qunut nazilah dalam solat kita. Ingatlah, usaha kita akan dipersoalkan saat kita menghadap Allah. Malah, diam kita juga terhadap mereka akan dipersoalkan. Dimanakah kita? Jawapannya ada pada kita.





Thursday, 21 January 2016

EGO

Situasi 1

Mak  : Anak… janganlah buat begitu dan begini. Nanti, kamu juga yang susah.

Anak : Alah… mak ni membebel sajalah.

Mak : Anak… mak marah tanda sayang. Mak tegur kamu untuk ingatkan kamu.

Anak : Mak tu memang tahu marah dan membebel saja. Apa yang orang buat semua tak kena. Mak tak kenal sayalah. Saya tahu apa yang saya buat. (Masuk ke bilik sambil menghentak kaki dan menutup pintu dengan kuat)

Situasi 1(2)

Mak : Anak… mak minta maaf ya sebab marah-marah tadi. Janganlah merajuk lagi. Mak dah tua, memang suka membebel.

Anak : Yalah! (dalam hati berasa sangat puas)

Dari situasi yang berlaku di atas seorang ibu memarahi dan menasihati anaknya untuk tidak melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Ibu juga ada mengatakan marahnya itu adalah tanda sayang. Namun, anak pula tidak mahu menerima malah memberontak. Anak rasa tercabar dan memberontak. Juga merasa rimas dengan bebelan si mak. Dia merasa begitu kerana merasa hidupnya dikongkong. Baginya, ibu yang telah mengandungkannya, melahirkannya serta menjaganya dari bayi hingga dewasa langsung tidak mengenali dirinya. Kemudian, tanpa memberi peluang pada maknya lagi, dia terus masuk ke bilik dalam keadaan marah.
 
Apa yang terjadi pada bahagian kedua? Anak masih merajuk dan mungkin masih tidak menegur maknya. Maknya mengalah dan memohon maaf pada anak kerana memarahinya tadi. Anak langsung tidak merasa bersalah malah sangat berasa puas hati. Dia sudah menang fikirnya.

Marah ibu adalah seumpama Allah memarahi kita. Allah meletakkan darjat seorang ibu itu di kedudukan yang tinggi. Ini kerana, dari awal lagi ibu banyak berkorabn buat si anak. Ibu menjaga kita dengan bersungguh dan langsung tidak kenal penat lelah. Segala ragam dan rengek kita, ibu melayan dengan sabar. Kadangkala, kita memilih kawan di saat kita gembira namun saat kita sedih ibu jualah yang berada disisi. Hati seorang ibu, siapa tahu? Sabarnya ibu melihat kesedihan kita sedangkan hatinya sedang hancur.
 
Jika difikirkan kembali, layakkah seorang ibu memohon maaf pada anak terlebih dahulu? Lebih-lebih lagi apabila segala yang berlaku berpunca dari kita sendiri sebagai anak. Buanglah ego jauh-jauh. Bebelan seorang ibu itu adalah satu keprihatinan terhadap kita. Tiada ibu yang mahu melihat anaknya di dalam kesusahan. Tiada ibu yang mahu melihat anaknya menjadi seorang yang rosak dan musnah masa depan. Ibu sentiasa mahu melihat kita bahagia dan menjadi seorang yang berguna. Tiada apa yang diharapkan selain itu.

Tangisan seorang ibu itu menjadi sia-sia jika ia menangisi kita kerana sikap kita yang derhaka dan menyakitkan hati dia. Hargailah yang masih di depan mata. Ubahlah sekrang, masih belum terlambat. Katalah sayang pada ibu kita. Mereka sangat berharga.


Monday, 18 January 2016

HEMBUSAN KUN FA YA KUN

Seorang lelaki dan seorang perempuan secara rasmi sah menjadi suami isteri selepas akad nikah, Masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk saling melengkapi dan menjadi pasangan yang sempurna. Pelbagai rintangan dan cubaan menghiasi kehidupan rumahtangga. Ada rasa manis, ada juga rasa pahit yang sangat ingin dijauhi. Namun, jika tiada rasa pahit, kita tidak akan mampu menghargai rasanya manis. Namun, tiada yang lebih gembira apabila suami isteri dikhabarkan bakal menjadi ibu dan ayah.



Hembusan Kun Fa Ya Kun, anugerah Ilahi. Begitu hebatnya kuasa Allah jika kita sentiasa menjadi hambaNya yang berfikir. Menempatkan seorang manusia di awal kewujudannya di dalam perut seorang ibu. Allahuakbar!

Saya mahu berkongsi kisah sedikit tentang saya. Apabila disahkan mengandung lima minggu. Hanya Allah saja yang tahu pelbagai perasaan yang dirasai. Ada rasa ragu-ragu, ada perasaan keliru, ada perasaan bimbang, ada rasa takut namun masih tidak mampu mengalahkan adanya rasa syukur dan rasa gembira.

Rasa ragu-ragu dan keliru membuatkan saya membuat ujian kehamilan secara personal sebanyak tiga kali. Itupun tidak mampu membuang rasa ragu-ragu dalam hati. Mungkin perasaan ragu-ragu datang kerana terlalu rasa gembira dan harapan. Semuanya pulih apabila saya melakukan sekali lagi ujian kehamilan di klinik swasta. Alhamdulilah… secara rasmi saya disahkan mengandung. Saya kini merupakan seorang ibu. InshaaAllah.

Di minggu ketujuh ini, Jantung bayi anda sudah terbentuk lengkap. Saraf dan ototnya dapat bekerja bersama untuk kali yang pertama. Bayi mempunyai refleksi  dan dapat bergerak spontan. Tetapi, anda masih belum dapat merasakannya. Pada akhir minggu ketujuh ini juga, otak bayi anda akan terbentuk lengkap. 


Kini, usia kandungan saya sudah masuk minggu yang ketujuh. Walau waktu ini usia kandungan saya masih sekecil-kecilnya. Namun, saya merasai kehadirannya dengan bahagian perut terasa kram dan menyucuk-yucuk. Melalui bacaan yang dibuat, semua ini dirasai kerana embrio melalui proses perkembangan.

Pada awal kehamilan ini atau lebih dikenali sebagai Trimester Pertama, saya sering diingatkan banyak kali tentang penjagaan makanan, contohnya pengambilan makanan berkhasiat. Seterusnya, penjagaan fizikal, contohnya jangan terlalu lasak, jangan mengangkat barang berat, jangan terlalu lama berdiri, jangan bekerja keras dan sebagainya. Namun begitu, penjagaan rohani dari awal ini tidak kurang pentingnya malah sangatlah penting.

Kini mudah kita mendapatkan info dari internet. Zikir-zikir, doa-doa serta amal-amal yang boleh dijadikan amalan untuk ibu-ibu mengandung. Surah-surah amalan juga telah siap disenaraikan beserta penerangan manfaat dan kelebihannya.



Adakah hanya itu saja cukup? Ramai yang terlepas pandang akan beberapa perkara iaitu berkenaan dengan organ deria manusia. Terutamanya mata, telinga dan mulut. Organ-organ ini snagat penting bagi keperluan manusia. Kurang satu daripadanya, kita digelasr sebagai golongan orang kurang upaya.


Allah jadikan mata untuk melihat. Dashyatnya penglihatan melalui mata bukan saja terkesan di ingatan malah turun ke hati. Jika pandangan kotor, maka jadi hitamlah hati. Jika pandangannya bersih, maka terpeliharalah hati. Begitulah perumpamaannya. Ibu mengandung wajib menjaga penglihatan mereka dari melihat perkara-perkara maksiat. Lebih-lebih lagi pada penggemar filem-filem inggeris atau Hindustan mahupun filem melayu yang mempunyai adegan-adegan ‘sensored’. Perkara ini sudah dipandang biasa. Namun, kesannya sangat besar kerana ia dapat mengotorkan hati. Lebih teruk lagi, ia terkesan pada janin kandungan secara rohaniah.


 Tanpa telinga kita tidak mampu mendengar. Kita akan menjadi orang pekak. Namun, memilih untuk pekakkan telinga dari mendengar perkara-perkara sia-sia adalajh pilihan yang bijak untuk ibu mengandung. Ibu-ibu mengandung disarankan untuk mendengar perkara-perkara ilmiah, kekuasaan Allah Taala dan kisah sirah Nabi dan Rasul.






Bak kata pepatah, “Kerana Mulut, Badan Binasa”. Kuasa yang paling besar diantara semua organ manusia. Dengannya, permusuhan boleh berlaku. Dengannya, seseorang individu boleh musnah dan terpedaya. Melalui pemerhatian, saya rasa sedih apabila melihat ibu-ibu mengandung yang masih menggunakan perkataan-perkataan seperti, ‘bodoh’, ‘celaka’, ‘babi’ dan sebagainya. Sia-sia saja jika dalam doa kita sentiasa memohon agar anak-anak kita menjadi anak yang soleh dan solehah. Jangan salahkan mereka jika mereka menggunakan perkataan itu sebagai makanan harian mereka. Jangan pelik jika anak-anak kecil sudah pandai menggunakan perkataan-perkataan tersebut. SubhanAllah, Allah berikan peluang buat bayi-bayi dalam perut ini untuk mendengar suara ibu mereka. Selain itu, budaya mengumpat yang masih belum Berjaya dibendung lagi. Sentiasa ingat hadis Rasulullah yang menyatakan, sesiapa yang mengata tentang saudaranya seumpama memakan daging saudaranya sendiri.




Melalui doa kita, kita sering menyebut inginkan anak yang soleh dan solehah. Doa bukan saja satu kata. Doa tidak akan menjadi tanpa usaha dan tindakan. Begitu jugalah tugas seorang ibu yang mahukan anaknya menjadi soleh dan solehah. Semoga perkara ini memberi peringatan buat ibu-ibu yang sedang mengandung termasuk diri saya sendiri dan juga buat isteri-isteri di luar sana yang masih menunggu khabar gembira. Malah, untuk muslimah dan muslimin yang masih belum mendirikan rumah tangga. Dari awal inilah yang patut kita jaga. InshaaAllah, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Anak yang soleh dan solehah buat bapa dan ibu yang solehah. Kita mampu mengubahnya. Perbaikilah diri kita dahulu.