Tuesday 26 January 2016

BUKAN MILIK KITA

Minggu ini adalah minggu kesembilan kehamilan saya. Hari ini saya mengalami pendarahan membuatkan saya sedikit hilang semangat dan sedikit risau.

Saya telah membuat pemeriksaan dari pakar sakit puan dari Klinik Kesihatan kerajaan. Disitu saya diberi maklumat bahawa kandungan saya di tahap 50/50. Kehamilan saya mungkin jadi ataupun sebaliknya. Dua minggu lagi adalah satu jawapan. Semua ini adalah ketentuan Allah.

Innalilah... ia adalah satu ujian yang berat buat saya. Dengan harapan yang saya sudah tanamkan. Rasa takut, sedih dan risau sentiasa bermain di fikiran saya. Air mata juga menjadi teman buat saat ini.

Rakan-rakan dan ahli keluarga menasihati untuk bersabar dan menerima ujian Allah ini. Bersangka baik kepada Allah.  InshaAllah, saya akan laluinya walau apa saja yang terjadi sekalipun. Ada rezeki atau tidak, saya tetap syukuri. 

Ia membuatkan saya tersedar satu perkara, semua disekeliling kita ini bukan milik kita malah diri kita, suami dan anak yang sedang dikandungkan ini juga bukan milik kita. Mereka sebenarnya milik Allah. Allah yang Maha Penyayang meminjamkan kepada kita. Dia saja tempat kita bergantung dan berharap. Semoga saya dan bakal anak soleh/solehah ini selamat dan sihat bawah rahmat Allah dan cahaya iman. 

DIARI HAMIL



Harga : RM 26.00

Penerbit : Telaga Biru

Buku ini adalah pilihan yang sangat tepat buat ibu-ibu yang sedang mengandung. Pengisiannya bukan saja memberi pandua dan maklumat-maklumat kepada para ibu malah kita turut dapat membuat catatan mingguan kehamilan kita.

Ruang-ruang 'checklist' juga memberikan peluang pada para ibu mencatit sesuatu yang sangat penting dan info-info dari pihak klinikal yang mengelakkan kita dari terlupa.

Maklumat-maklumat yang diberikan ringkas tapi pada dengan menggunakan kaedah 'point' membuatkan para ibu lebih mudah untuk memahami. 

Gunakanlah buku ini untuk tujuan  mendapatkan ilmu serta menjadikan hari-hari kehamilan kita menjadi lebih sistematik. Buku ini juga sesuai untuk dijadikan hadiah buat ahli keluarga, rakan-rakan dan isteri tercinta. 



HIKMAH KERETA ROSAK

Hari Ahad yang lepas saya serta suami diuji. Kereta kami rosak di tengah highway berhampiran dengan tol nilai dalam perjalanan kami dari Melaka ingin pulang ke Selangor. Cuaca begitu panas pada hari itu. Perasaan bimbang dan cemas dalam diri kami. Bukan sahaja, enjin kereta termati secara tiba-tiba malah ditambahi dengan asap dibahagian enjin. Kami juga bimbang jika ada sesiapa berniat tidka baik menganggu kami disana. Emosi dan fikiran kami sedikit sebanyak terganggu dnegan pelbagai perasaan. terutamanya saya. Emosi dan perempuan tidak boleh dipisahkan.

Namun, saya puji suami saya dalam mengawal emosinya. Dia tentu saja boleh naik angin dan marah-marah kerana dia yang memandu kereta. Lebih-lebih waktu itu adalah waktu petang. Pasti saja dia sedang melawan mata kerana rasa mengantuk sejak awal lagi. Tambahan lagi, tampak wajahnya kepenatan. Tapi, sebaliknya dia masih mampu bertenang dan kadang tersenyum.

Saya juga memilih untuk diam. Walau gagal untuk senyum. Saya cuba mengawal emosi saya. Ya... kita harus redha. Allah saja yang tahu apa yang akan berlaku dan apa hikmahnya di setiap kejadian. Sementara , kami menunggu pihak bantuan PLUS yang telah kami hubungi, saya terduduk. Allah saja yang tahu begitu rasa penatnya saya pada masa itu. Dalam keadaan yang panas, suami saya membuka blazernya dan melindungi belakang badan saya. Ya Allah... semoga suami saya memperolehi cahaya rahmat dna iman dalam hatinya.

Selain itu, Allah juga menghantarkan bantuan. Seorang lelaki cina yang merupakan 'pomen' turut membantu kami. Dari dia, kami diberitahu tentang punca dan masalah kereta kami yang rosak. Seterusnyaa, kereta kami ditarik hingga ke tol nilai dan dari situ pula kami meminta bantuan  pihak tarik kereta yang merupakan kenalan abang kandung saya untuk menarik kereta kami sehingga ke rumah.

Syukur Alhamdulilah... semuanya selesai dan berakhir dengan lancar.

Hikmah yang saya perolehi dalam kejadian ini ialah kadang-kadang segala kekurangan berlaku dari diri kita sendiri, akibat kecuaian kami untuk memeriksa keadaan kereta sebelum memulakan perjalanan merupakan punca utama.(Jadikan pengajaran, ya?) Selain itu, segala dugaan dan cubaan itu tanda Allah mahu menguji keredhaan kita pada takdir yang ditentukan. Adakah masa itu kita mampu bersangka baik dengan Allah? Dengan dugaan dan cubaan ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan suami isteri jika masing-masing boleh saling membantu dan memahami. Saya juga terharu dengan tindakan abang kandung saya yang menolong kami dan sanggup mengeluarkan duit demi membantu kami. Banyak sekali hikmahnya, bukan?

Kita Prihatin?

Persembahan lagu 'Assalamualaikum Dunia' oleh Faizal Tahir dalam Anugerah Juara Lagu 2016 yang disiarkan secara langsung di TV3 dua hari lepas memberi kesan yang mendalam kepada diri saya. Seolah-olah saya baru tersedar dari mimpi yang diulik dengan kesenangan dalam hidup. Saya sering mengakui bahawa saya sangat prihatin terhadap mereka. Saya kisah dan peduli. Namun, difikirkan balik seolah-olah ‘cakap tak serupa bikin’.

Serangan terhadap mereka bagai tiada penghujungnya. Mereka ditindas setiap hari dan setiap masa. Kisah-kisah mereka yang terpampang di dunia berita dan laman sosial tidak putus-putus menyebabkan segelintirnya mungkin merasakan bosan dan tidak ambil kisah lagi. Kita sering memberi alasan yang kita tidak mampu membantu mereka melalui sumbangan apatah lagi tenaga.

Ayuh! Saya dan kita semua bangun dan bangkit semula. Bantulah mereka selagi ada kudrat. Sebenarnya macam-macam cara kita boleh menolong mereka. Sekarang terdapat banyak badan0badan NGO kemanusiaan yang ditubuhkan. Ambil masa untuk mendapatkan mereka kemudia kita berilah sumbangan semampu yang kita boleh. Biasanya yang selalu memberi ini, dia akan mendapat lebih banyak ganjaran dan rezeki. Tak percaya… cubalah. Tak banyak, sedekahkan RM1 di tabung surau. Kita akan dapat pulangan yang tak disangka-sangkakan. Kadang-kadang bukan melalui mata wang tapi sesuatu yang membuatkan kita rasa bersyukur dapat memperolehinya.

Selain itu, sekiranya kita bertenaga dan mempunyai kudrat, ambillah peluang untuk menyertai misi-misi bantuan dengan menjadi sukarelawan yang ditawarkan oleh badan-badan NGO. Dengan itu, kita mampu lagi memahami dan melihat keadaan mereka dengan mata kita sendiri. Apa yang saya perhatikan daripada mereka yang mempunyai pengalaman tersebut, mereka lebih mensyukuri apa adanya dan berhijrah ke arah yang lebih baik selepas pulang ke tanah air. Rebutlah peluang itu. Semoga kita ada rezeki satu hari nanti.

Apa yang penting adalah doa. Doa senjata mukmin. Cuba kita fikirkan, ada kah mereka dalam doa kita? Kita lupa? Ya, mungkin saja lupa. Kita boleh ubah, masih belum terlambat. Kita juga boleh amalkan qunut nazilah dalam solat kita. Ingatlah, usaha kita akan dipersoalkan saat kita menghadap Allah. Malah, diam kita juga terhadap mereka akan dipersoalkan. Dimanakah kita? Jawapannya ada pada kita.





ULASAN E-BOOK ASAS BLOG DAN PENULISAN (TUGASAN 1 & 5)

Bismillah… Assalamualaikum

Alhamdulilah, selesai sudah saya membaca e-book asas blog dan penulisan ini. Selepas meneliti, saya lebih memahami tips dan langkah membina blog dengan lebih efektif. Selain itu, saya sedar penentuan sesuatu tajuk atau topik bagi sesebuah blog sangat penting untuk mendapatkan pembaca yang konsisten dan setia.

Seterusnya, saya namakan konsep 2 dalam 1 dimana kita bukan saja menulis namun kita masih boleh berbisnes. Teknik-teknik yang diterangkan memberi saya banyak ilham serta contoh-contoh blog yang baik dapat dijadikan panduan serta menjadi contoh terbaik.

Langkah-langkah dan tips untuk menulis dengan lebih efektif dan terpengaruh memberi sedikit sebanyak ilmu dan panduan kepada saya untuk memperbaiki teknik penulisan saya dalam penulisan blog.

Selain itu, saya juga mendapat satu kesedaran bahawa seorang penulis patut bijak dalam mencuri masa untuk menulis setiap hari. Gunakan masa yang ada walaupun sekejap untuk menulis. Dengan ini, penulisan kita makin hari makin konsisten serta mantap. Dengan penulisan blog ini, bukan saja saya dapat melatih teknik penulisan saya. Malah saya juga dapat pelajari untuk menjadi penulis yang konsisten dengan menulis tanpa ada waktu yang tertangguh dan tiada alasan untuk tidak menulis.

Malah, saya juga mendapat satu ilham bahawa dengan blog ini juga, saya dapat jadikan target untuk menghasilkan satu buku satu hari nanti.

Terima kasih kerana membaca ulasan ini.


Sekian, terima kasih. J

Thursday 21 January 2016

PELESIT DUNIA

Gay
Pengkid
Pelesit dunia
Aku simpati

Tersesat dalam identiti
Ada jalan keluar
Degil mahu ikut
Selesa dengan tipu daya

Kepuasan apa yang kau cari?
Anugerah ilahi menggunung tinggi
Kasih sayang dikurniai

Kau kata Tuhan tidak adil
Kau kata dunia mengusir
Tanya dirimu
Ketidakadilan itu berada dalam hati hitammu

Apalah daya wahai diri
Lihat dari jauh
Tangan ditadahi
Semoga cahaya itu milikmu
Wahai pelesit

Kasihilah dirimu.




ALAM KANAK-KANAK RIBENA

Siapa tidak suka kanak-kanak? Siapa yang tidak sayang pada kanak-kanak? Wajah mereka yang comel serta gelagat mereka yang mencuit hati sentiasa menggembirakan hati kita. Senyum dan tawa mereka yang kita impikan. Mereka tiada dosa. Suci disisi Allah. Mereka sangat istimewa.

Selama 3 tahun berada di alam mereka dihiasi dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Pandangan mereka di luar sana akan bidang prasekolah ini satu bidang yang mudah. Bagi mereka, kami sebagai guru, hanya setakat mengajar  dan menjaga. Tidak hairan, saya sudah banyak kali menerima kenyataan seperti ini apabila saya mengadu penat. “Apa yang penat sangat ajar dan jaga budak. Kalau diorang degil, marah sajalah.”
 
Tapi tidak semudah yang dikatakan dan difikirkan. Kami bukan saja menggunakan fizikal kami malah kami menggunakan mental dan emosi kami sekali. Saya hanya mampu menjawab, “Bayangkan satu budak mewakili sepuluh orang budak”.

Berurusan mereka, kami harus bijak dalam mengawal emosi. Kami dikira berjaya jika kami berjaya bersabar, positif dan sentiasa melayani mereka dengan lembut dan penuh kasih sayang. Terus terang, saya meletakkan diri saya sebagai seorang yang kalah. Banyak kali juga saya terlajak memarahi mereka. Apakan daya, saya hanya manusia biasa. Namun, sebenarnya dalam hati sangat sayang akan mereka. Mereka sudah dianggap seperti anak-anak sendiri. Boleh jadi rindu apabila berjauhan dengan mereka. Leih-lebih lagi bila hari minggu. Keriuhan mereka sangat dirindui.

Walaupun mereka tergolong dari golongan kanak-kanak hiperaktif, mereka tiada dosa. Mereka masih berada dalam dunia mereka yang penuh dengan keceriaan. Mereka juga sedang melalui proses pembelajaran. Oleh itu, terlalu banyak kesalahan yang akan dilakukan. Tugaslah kita yang harus mendidik dan membimbing mereka. Menegur mereka dengan cara yang paling berhikmah.

Ikutilah cara nabi junjungan kita, Rasulullah s.a.w yang sentiasa melayani kanak-kanak dengan penuh keceriaan, kelembutan, kesabaran dan sentiasa tersenyum. Baginda tidak pernah menghalang kanak-kanak bermain dan menghayati zaman kanak-kanak mereka. Satu kisah lagi yang boleh kita teladani, baginda tidak marah dan tegur apabila salah seorang daripada cucu baginda yang menaiki badan baginda semasa baginda sedang bersujud ketika menunaikan solat.

Sayangilah kanak-kanak dan berusaha mendidik mereka. Saya mengambil peluang lagi untuk mengingati para ibu bapa akan menyekat penggunaan gajet terhadap anak-anak juga menyekat anak-anak dari asyik menonton program-program tivi seperti Ultraman, Spiderman, Batman, Iron Man, Naruto, Bleach dan seumpamanya. Ini kerana ia hanya memberi kesan yang negative pada anak-anak seperti anak-anak akan menjadi lebih agresif. Selain itu, program ini terdapat banyak propaganda tertentu. Program-program tersebut juga banyak berunsurkan elemen-elemen lucah yang mampu merangsang pemikiran anak-anak.


Pilihan di tangan anda. Ajarilah mereka melihat dan menonton program-program Islamiah yang membawa kepada kebaikan. Ibu bapa juga boleh menyediakan satu jadual waktu dan peraturan tegas tentang penggunaan tivi dan gajet. Fikirkanlah demi anak-anak untuk generasi yang akan datang.





EGO

Situasi 1

Mak  : Anak… janganlah buat begitu dan begini. Nanti, kamu juga yang susah.

Anak : Alah… mak ni membebel sajalah.

Mak : Anak… mak marah tanda sayang. Mak tegur kamu untuk ingatkan kamu.

Anak : Mak tu memang tahu marah dan membebel saja. Apa yang orang buat semua tak kena. Mak tak kenal sayalah. Saya tahu apa yang saya buat. (Masuk ke bilik sambil menghentak kaki dan menutup pintu dengan kuat)

Situasi 1(2)

Mak : Anak… mak minta maaf ya sebab marah-marah tadi. Janganlah merajuk lagi. Mak dah tua, memang suka membebel.

Anak : Yalah! (dalam hati berasa sangat puas)

Dari situasi yang berlaku di atas seorang ibu memarahi dan menasihati anaknya untuk tidak melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Ibu juga ada mengatakan marahnya itu adalah tanda sayang. Namun, anak pula tidak mahu menerima malah memberontak. Anak rasa tercabar dan memberontak. Juga merasa rimas dengan bebelan si mak. Dia merasa begitu kerana merasa hidupnya dikongkong. Baginya, ibu yang telah mengandungkannya, melahirkannya serta menjaganya dari bayi hingga dewasa langsung tidak mengenali dirinya. Kemudian, tanpa memberi peluang pada maknya lagi, dia terus masuk ke bilik dalam keadaan marah.
 
Apa yang terjadi pada bahagian kedua? Anak masih merajuk dan mungkin masih tidak menegur maknya. Maknya mengalah dan memohon maaf pada anak kerana memarahinya tadi. Anak langsung tidak merasa bersalah malah sangat berasa puas hati. Dia sudah menang fikirnya.

Marah ibu adalah seumpama Allah memarahi kita. Allah meletakkan darjat seorang ibu itu di kedudukan yang tinggi. Ini kerana, dari awal lagi ibu banyak berkorabn buat si anak. Ibu menjaga kita dengan bersungguh dan langsung tidak kenal penat lelah. Segala ragam dan rengek kita, ibu melayan dengan sabar. Kadangkala, kita memilih kawan di saat kita gembira namun saat kita sedih ibu jualah yang berada disisi. Hati seorang ibu, siapa tahu? Sabarnya ibu melihat kesedihan kita sedangkan hatinya sedang hancur.
 
Jika difikirkan kembali, layakkah seorang ibu memohon maaf pada anak terlebih dahulu? Lebih-lebih lagi apabila segala yang berlaku berpunca dari kita sendiri sebagai anak. Buanglah ego jauh-jauh. Bebelan seorang ibu itu adalah satu keprihatinan terhadap kita. Tiada ibu yang mahu melihat anaknya di dalam kesusahan. Tiada ibu yang mahu melihat anaknya menjadi seorang yang rosak dan musnah masa depan. Ibu sentiasa mahu melihat kita bahagia dan menjadi seorang yang berguna. Tiada apa yang diharapkan selain itu.

Tangisan seorang ibu itu menjadi sia-sia jika ia menangisi kita kerana sikap kita yang derhaka dan menyakitkan hati dia. Hargailah yang masih di depan mata. Ubahlah sekrang, masih belum terlambat. Katalah sayang pada ibu kita. Mereka sangat berharga.


KENALAN DI TANGKUBAN PARAHU

Teringat pula kenangan semasa bercuti ke Negara Indonesia bersama keluarga beberapa tahun yang lepas. Bukan saja dianugerahi rasa seronok dan gembira. Malah, banyak pengajaran yang dapat dipelajari melalui pemerhatian.

Keadaan jalan raya di Bandar Jakarta sentiasa sesak sepanjang masa. Kenderaan berjarak dekat antara satu sama lain. Seolah-olah hampir terhimpit tapi Alhamdulilah tiada kemalangan yang berlaku. Ditambahi dengan bunyi ‘hon’ kereta yang meriuhkan lagi suasana. Saya fikir kalau di Malaysia, tentu saja pengguna-pengguna jalan raya akan naik mengamuk. Mungkin saja boleh bertelingkah antara satu sama lain walau di tengah-tengah jalan raya. Diperhati orang ramai. Tapi di sana, rakyatnya masih punya rasa hormat dan toleransi. Saya tidak kata rakyat Malaysia semua begitu. Namun, segala yang berlaku kita jadikan satu peringatan. Kebanyakan rakyat Indonesia di sana kaya dengan budi bahasa dan keramahan. Lelaki, perempuan, warga muda dan warga tua semuanya menggunakan pertuturan yang sangat lembut dan sopan. Mereka tidak angkuh. Alhamdulilah! Saya diberi peluang bertemu dengan mereka.

Walau rasa rimas dengan peniaga-peniaga di tepi jalanan yang sentiasa mengekori dan memaksa kita membeli barangan mereka. Namun, semangat dan kesungguhan mereka membuatkan saya rasa kagum dan malu dengan diri sendiri. Mereka tidak marah dan tidak tampak kecewa jika kita bekeras tidak mahu membeli barangan mereka. Mungkin kerana keyakinan mereka terhadap rezeki Allah berikan melebihi segala. Mereka tergolong dari orang-orang tua, dewasa, remaja dan kanak-kanak kecil. Semua itu tidak menghalang mereka untuk sentiasa bangkit dan berusaha dalam hidup. Teringat pula akan lagu dari band Indonesia ‘D’Masiv’ yang mempopularkan lagu ‘Jangan Menyerah’. Muzik videonya betul-betul memaparkan kisah hidup di Negara Indonesia.

Saya sentiasa mengingati jelas memori di Tangkuban Parahu, Bandung. Tangkuban Parahu adalah tempat kunjungan orang ramai dimana di sana kita dapat menyaksikan kebesaran Allah Taala. Gunung berapi yang pernah meletus lamanya sehingga meninggalkan kesan sejarah pada rakyat Indonesia malah seluruh dunia. Di sana pengunjung berpeluang untuk menaiki ke puncak gunung untuk melihat kawah yang didalamnya terdapat air panas dan lumpuh yang menggelegak secara jelas. Ada juga pengunjung yang membeli telur dan memasaknya di kawasan permukaan gunung yang panas.

Kasim, seorang peniaga jalanan berumur 21 tahun. Tekad sungguh dia memaksa ibu saya untuk membeli tasbih yang dijualnya. Katanya, batu tasbih tersebut adalah batu mahal. Memang cantik. Namun, pujukannya masih tidak Berjaya. Ibu saya terpaksa tidak menghiraukannya walaupun dia mula mengekori kami sekeluarga. Saya sempat mengambil peluang mejadi detektif tidak bertauliah. Saya menanyakan dia pelbagai soalan. Alhamdulilah, dia turut melayan saya dengan baik dan menjawab semua soalan saya seperti seorang kawan.
Dia begitu selesa menceritakan kisah hidupnya dengan saya. Rupanya Kasim sudah beristeri  dan mempunyai anak comel berusia setahun. Ceritanya, dia selalu mahu menjual barangannya habis dengan cepat kerana merindui mereka yang menunggu dirumah. Pernah juga dia terpaksa hingga lewat malam mencari rezeki demi mencari makan untuk keluarga. Rasa tanggungjawab sebagai ketua keluarga tidak membenarkan isterinya bekerja. Biarlah dia seorang saja mencari makan mereka sekeluarga.

Apa yang membuatkan saya lebih sayu, Kasim berkeinginan untuk menyambung pengajian. Dia minat untuk mempelajari lebih lagi dalam bidang agama. Namun, kesesakan hidupnya menghalang niat dan cita-citanya itu. Kedengaran nada suara tabah dan redha.
Rezeki miliknya, ibu saya yang tidak langsung mendengar perbualan kami tadi akhirnya membeli juga tasbih yang dijualnya itu. Saya mengagak, dia akan terus beredar dari situ. Tapi tidak, dia terus berbual dengan saya dan kami juga saling berkongsi. Malah, pelbagai nasihat yang diberikan pada saya. Terutamanya peringatan tentang rasa syukur saya diberi rezeki oleh Allah dapat menyambung pengajian saya. Peluang itu datang dari Allah, namun boleh pergi sekiranya kita tidak menjaga dengan baik.

Masa mencemburui kami, tiba masa saya dan keluarga harus beredar dari situ untuk melawat ke tempat lain. Perkenalan saya dengan Kasim juga berhenti sampai disitu. Dia menghantar kami hingga ke van persiaran yang kami naiki. Saya sempat menghulurkan wang buat belanja isteri dan anaknya. Tidak seperti yang saya agak juga, dia tidak mahu menerima wang itu. Bukan tolak rezeki, namun biarlah hasil pendapatannya daripada hasil titik peluhnya sendiri.
SubhanAllah, sehingga kini, dari jauh saya sentiasa mendoakan Kasim sekeluarga sentiasa dilindungi Allah, diberikan anugerah kebahagiaan, dilimpahi rezeki yang banyak dan mendapat rahmat Iman. Aamiin.













PERMULAAN


Sehijau Warna Daun adalah buku Antologi Sastera Bahasa Melayu yang digunakan pelajar Tingkatan satu untuk subjek Bahasa Melayu di seluruh negeri Melaka, Johor dan Negeri Sembilan. Isinya mengabungkan kompilasi Puisi Tradisional, Prosa Tradisional, Sajak, cerpen dan Skrip drama yang harus dipelajari dan dikaji pelajar-pelajar.

Bagi saya, buku ini adalah satu memori. Satu sejarah. Sejarah permulaan saya meminati dunia penulisan. Lebih-lebih lagi di bahagian skrip drama. Amat terkesan di hati saya apabila saya mula menulis walaupun tidak begitu baik. Namun, saya dapat rasai satu perasaan yang amat menyenangkan hati saya. Lebih-lebih lagi, apabila saya menulis, seolah-olah saya berada dalam dunia saya sendiri. Minat ini menjadi satu cita-cita. Ia sentiasa mengalir dalam diri saya sehingga kini. Walaupun penulisan saya tidak lah begitu baik dan professional seperti penulis-penulis tersohor di luar sana. Tetapi, ia langsung tidak menghalang saya untuk terus menulis dan belajar lebih lagi dalam bidang penulisan.


Alhamdulilah… Allah berikan rasa nikmat kepada saya untuk kebolehan ini. Walaupun masih merangkak. InshaaAllah, saya yakin Allah berikan saya anugerahi ini hanya kerana untuk kebaikan dan satu amanah yang belum saya langsaikan.


Sehijau Warna Daun, permulaan saya melangkah dalam dunia penulisan.

THE OTHER SIDE OF COIN

Versi Lama

Versi Baru

Harga : RM 25.00
Penerbit : Puteh Press
Penulis : Aiman Azlan/Ameen Misran

‘The Other Side Of Coin’ adalah buku motivasi bahasa inggeris yang mengabungkan dua penulis iaitu Ameen Misran serta vlogger terkenal, Aiman Azlan’. Pelbagai topik dan permasalahan yang dibincangkan dalam buku ini terutamanya tertuju pada golongan remaja, pelajar dan mereka yang masih memahami diri mereka sendiri.

Antara topic yang dbincangkan adalah tentang motivasi diri, keyakinan diri, percintaan, hubungan kekeluargaan, hubungan dengan Tuhan dan beberapa lagi topic yang dikira penting buat individu. Saya amat menyarankan bagi pembaca-pembaca untuk membeli buku ini kerana ia mempunyai banyak nilai positif dan boleh dijadikan ssebuah buku panduan harian. Terutamanya pada pelajar-pelajar sekolah, university dan bagi mereka yang sudah mengenali atau merasai rasa cinta. 

WHATEVER YOU SAY I AM/ I'M OK

Harga : RM 20.00
Penerbit : Rabak-Lit
Penulis : Anwar Hadi

‘Whatever you say iam/ I’m ok’ adalah buku berkembar yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu fiksyen dan non fiksyen yang ditulis oleh blogger dan vlogger terkenal iaitu Anwar Hadi. Buku ini bagi saya sangat menarik kerana penggunaan bahasanya yang tidak meleret dan ‘simple’. Lebih-lebih lagi ia ditulis dalam Bahasa Inggeris.


Di bahagian non fiksyen adalah kompilasi catatan-catatan harian penulis. Ada catatan yang kadang dirasakan amat mencuit hati. Namun, semuanya mempunyai pengajaran dan peringatan. Manakala di bahagian Fiksyen, penulis mempersembahkan kompilasi cerita pendek atau cerpen yang sangat ringkas namun amat menyentuh hati.


Amat sesuai dijadikan pilihan bacaan bagi semua peringkat umur. Lebih-lebih lagi pada pembaca yang minat membaca buku inggeris dan juga yang mahu memantapkan lagi bahasa Inggeris mereka kerana bahasa yang digunakan mudah difahami. 

Monday 18 January 2016

HEMBUSAN KUN FA YA KUN

Seorang lelaki dan seorang perempuan secara rasmi sah menjadi suami isteri selepas akad nikah, Masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk saling melengkapi dan menjadi pasangan yang sempurna. Pelbagai rintangan dan cubaan menghiasi kehidupan rumahtangga. Ada rasa manis, ada juga rasa pahit yang sangat ingin dijauhi. Namun, jika tiada rasa pahit, kita tidak akan mampu menghargai rasanya manis. Namun, tiada yang lebih gembira apabila suami isteri dikhabarkan bakal menjadi ibu dan ayah.



Hembusan Kun Fa Ya Kun, anugerah Ilahi. Begitu hebatnya kuasa Allah jika kita sentiasa menjadi hambaNya yang berfikir. Menempatkan seorang manusia di awal kewujudannya di dalam perut seorang ibu. Allahuakbar!

Saya mahu berkongsi kisah sedikit tentang saya. Apabila disahkan mengandung lima minggu. Hanya Allah saja yang tahu pelbagai perasaan yang dirasai. Ada rasa ragu-ragu, ada perasaan keliru, ada perasaan bimbang, ada rasa takut namun masih tidak mampu mengalahkan adanya rasa syukur dan rasa gembira.

Rasa ragu-ragu dan keliru membuatkan saya membuat ujian kehamilan secara personal sebanyak tiga kali. Itupun tidak mampu membuang rasa ragu-ragu dalam hati. Mungkin perasaan ragu-ragu datang kerana terlalu rasa gembira dan harapan. Semuanya pulih apabila saya melakukan sekali lagi ujian kehamilan di klinik swasta. Alhamdulilah… secara rasmi saya disahkan mengandung. Saya kini merupakan seorang ibu. InshaaAllah.

Di minggu ketujuh ini, Jantung bayi anda sudah terbentuk lengkap. Saraf dan ototnya dapat bekerja bersama untuk kali yang pertama. Bayi mempunyai refleksi  dan dapat bergerak spontan. Tetapi, anda masih belum dapat merasakannya. Pada akhir minggu ketujuh ini juga, otak bayi anda akan terbentuk lengkap. 


Kini, usia kandungan saya sudah masuk minggu yang ketujuh. Walau waktu ini usia kandungan saya masih sekecil-kecilnya. Namun, saya merasai kehadirannya dengan bahagian perut terasa kram dan menyucuk-yucuk. Melalui bacaan yang dibuat, semua ini dirasai kerana embrio melalui proses perkembangan.

Pada awal kehamilan ini atau lebih dikenali sebagai Trimester Pertama, saya sering diingatkan banyak kali tentang penjagaan makanan, contohnya pengambilan makanan berkhasiat. Seterusnya, penjagaan fizikal, contohnya jangan terlalu lasak, jangan mengangkat barang berat, jangan terlalu lama berdiri, jangan bekerja keras dan sebagainya. Namun begitu, penjagaan rohani dari awal ini tidak kurang pentingnya malah sangatlah penting.

Kini mudah kita mendapatkan info dari internet. Zikir-zikir, doa-doa serta amal-amal yang boleh dijadikan amalan untuk ibu-ibu mengandung. Surah-surah amalan juga telah siap disenaraikan beserta penerangan manfaat dan kelebihannya.



Adakah hanya itu saja cukup? Ramai yang terlepas pandang akan beberapa perkara iaitu berkenaan dengan organ deria manusia. Terutamanya mata, telinga dan mulut. Organ-organ ini snagat penting bagi keperluan manusia. Kurang satu daripadanya, kita digelasr sebagai golongan orang kurang upaya.


Allah jadikan mata untuk melihat. Dashyatnya penglihatan melalui mata bukan saja terkesan di ingatan malah turun ke hati. Jika pandangan kotor, maka jadi hitamlah hati. Jika pandangannya bersih, maka terpeliharalah hati. Begitulah perumpamaannya. Ibu mengandung wajib menjaga penglihatan mereka dari melihat perkara-perkara maksiat. Lebih-lebih lagi pada penggemar filem-filem inggeris atau Hindustan mahupun filem melayu yang mempunyai adegan-adegan ‘sensored’. Perkara ini sudah dipandang biasa. Namun, kesannya sangat besar kerana ia dapat mengotorkan hati. Lebih teruk lagi, ia terkesan pada janin kandungan secara rohaniah.


 Tanpa telinga kita tidak mampu mendengar. Kita akan menjadi orang pekak. Namun, memilih untuk pekakkan telinga dari mendengar perkara-perkara sia-sia adalajh pilihan yang bijak untuk ibu mengandung. Ibu-ibu mengandung disarankan untuk mendengar perkara-perkara ilmiah, kekuasaan Allah Taala dan kisah sirah Nabi dan Rasul.






Bak kata pepatah, “Kerana Mulut, Badan Binasa”. Kuasa yang paling besar diantara semua organ manusia. Dengannya, permusuhan boleh berlaku. Dengannya, seseorang individu boleh musnah dan terpedaya. Melalui pemerhatian, saya rasa sedih apabila melihat ibu-ibu mengandung yang masih menggunakan perkataan-perkataan seperti, ‘bodoh’, ‘celaka’, ‘babi’ dan sebagainya. Sia-sia saja jika dalam doa kita sentiasa memohon agar anak-anak kita menjadi anak yang soleh dan solehah. Jangan salahkan mereka jika mereka menggunakan perkataan itu sebagai makanan harian mereka. Jangan pelik jika anak-anak kecil sudah pandai menggunakan perkataan-perkataan tersebut. SubhanAllah, Allah berikan peluang buat bayi-bayi dalam perut ini untuk mendengar suara ibu mereka. Selain itu, budaya mengumpat yang masih belum Berjaya dibendung lagi. Sentiasa ingat hadis Rasulullah yang menyatakan, sesiapa yang mengata tentang saudaranya seumpama memakan daging saudaranya sendiri.




Melalui doa kita, kita sering menyebut inginkan anak yang soleh dan solehah. Doa bukan saja satu kata. Doa tidak akan menjadi tanpa usaha dan tindakan. Begitu jugalah tugas seorang ibu yang mahukan anaknya menjadi soleh dan solehah. Semoga perkara ini memberi peringatan buat ibu-ibu yang sedang mengandung termasuk diri saya sendiri dan juga buat isteri-isteri di luar sana yang masih menunggu khabar gembira. Malah, untuk muslimah dan muslimin yang masih belum mendirikan rumah tangga. Dari awal inilah yang patut kita jaga. InshaaAllah, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Anak yang soleh dan solehah buat bapa dan ibu yang solehah. Kita mampu mengubahnya. Perbaikilah diri kita dahulu.






Sunday 17 January 2016

Assalamualaikum... Salam Perkenalan!

Alhamdulilah... nama diberi, NurDiyana Binti Haji Rahmat. Pada tahun 2009, saya melanjutkan pengajian di sebuah Kolej Dar Al-Hikmah yang merupakan sebuah kolej swasta di Bandar Baru Bangi dan berkelulusan di peringkat Diploma dalam bidang Psikologi. Selepas menamatkan pengajian pada tahun 2011, saya bekerja sebagai kerani di sebuah pejabat guaman. Seterusnya saya berkhidmat sebagai guru prasekolah di tadika swasta selama 3 tahun. Saya mempunyai pengalaman bisnes sebagai dropship untuk beberapa jualan seperti jualbeli buku, produk kecantikan dan pakaian. Menulis dan membaca menjadi minat saya sejak di bangku sekolah lagi. Selain itu, saya berkemahiran dalam menulis dan juga memasak lauk-pauk selera kampung. Saya bersifat universal dalam pemilihan buku bacaan. Namun, yang paling saya gemari ialah bahan bacaan yang berunsurkan keagamaan, kehidupan masyarakat, motivasi dan ilmiah. Sahabat-sahabat boleh sentiasa berkunjung di http://tintadiyanahrahmat.blogspot.my/. Matlamat saya dalam menyertai Kelas Penulisan Kreatif ini adalah kerana ingin mendapatkan ilmu dalam bidang penulisan dengan lebih mendalam. Selain itu, saya mahu mendisplinkan diri untuk mencapai cita-cita saya iaitu menjadi penulis yang berkaliber, bermotivasi dan konsisten. Saya juga bermatlamat untuk berjaya menghasilkan buku yang dapat memberi pengajaran, renugan serta ilmu kepada para pembaca. Sekaligus, ia dapat membantu dan membimbing para pembaca untuk berhijrah menjadi lebih baik dalam kehidupan mereka termasuk diri saya sendiri.

(Tugasan 2)