Sunday 15 May 2016

BENGKEL PENULISAN FANTASI-THRILLER 2016

Bismillahirrahmannirahim…

Assalamualaikum W.B.T




Alhamdulilah, saya diberi peluang sekali lagi oleh Allah S.W.T untuk menghadirkan diri di sebuah bengkel penulisan iaitu Bengkel Penulisan Fantasi-Thriller yang diadakan di Rumah Pena Kuala Lumpur bersamaan dengan 14 Mei 2016 dan dianjurkan oleh seorang Editor yang cukup berbakat besar, komited dan toleransi, Cik Puan Nor Liana Omar a.k.a Leanne Adam.

Saya cukup bertuah kerana menjadi salah satu peserta yang terpilih kerana bagi saya bengkel ini bersifat semua dalam satu. Dalam bengkel ini yang disampaikan secara santai dan lebih banyak bersoal jawab, kami diterangkan cukup banyak tentang teknik penulisan, hak penulis, dunia penerbitan, kesedaran dari segi nilai-nilai positif dan sebagainya tentang penulisan.

Bengkel ini lebih memfokuskan tentang penulisan ‘cereka’ untuk genre Fantasi-Thriller. Sebelum ini, saya anggap penulisan genre ini sama dengan penulisan genre-genre yang lain. Tapi semalam, baru saya tahu, genre ini memerlukan satu ketelitian yang cukup mendalam. Lebih-lebih lagi dari segi ilmu pengetahuan dan logik. Penulis perlu bersungguh-sungguh membuat kajian. Dengan kajian yang sambil lewa mungkin dapat mencacatkan karya kita jika kita memilih menulis genre ini.

Walaubagaimanapun, dalam penulisan genre ini, kita perlu bijak untuk mengolah fakta yang kita tahu untuk tidak jadikan ia satu karya yang bercelaru dan sukar difahami. Lagipun, kita menggunakan konsep ‘Fiksyen’ iaitu antara gaya penulisan yang tidak terlalu berat untuk pembaca. Selain itu, bila disentuh tentang isu pemilihan nama pena yang sesuai dan menarik, saya tertarik dengan satu pesanan oleh Cik Puan Nor Liana Omar iaitu “Biarlah buku yang menjual nama kita, jangan nama yang menjual buku kita”. Pesanan ini bermaksud, isu nama pena adalah satu isu yang kecil namun sebenarnya apa yang penulis perlu utamakan ialah konten dalam sesebuah karya yang kita hasilkan. Adakah konten kita itu menarik dan membawa mesej yang baik.

Satu sesi perkongsian bersama seorang penulis yang bukan calang-calang iaitu Maya Iris yang telah melahirkan karya-karya hebat seperti Konspirasi Suami, Mahar Cinta Cinderella, Curahan Cinta Niagara dan Kuseru Namamu Kekasih banyak juga berkongsikan teknik penulisan yang beliau gunakan. Satu yang saya tertarik melalui karya beliau adalah beliau banyak menggunakan rujukan dan pendekatan melalui Al-Quran. Saya cukup kagum. Disitu saya sedar, di dalam Al-Quran sendiri kita tahu banyak cerita, penerangan dan peristiwa, Maya Iris berjaya menjadikan atau mengolahkan ia menjadi satu bentuk penulisan Fiksyen yang tidak berat dan berjiwa santai. Saya sangat suka dan mahu cuba mempraktikkannya. 

Pengisian bengkel ini juga, penulis diterangkan serba sedikit tentang hak cipta, kontrak, penerbitan sendiri dan sebagainya. Disini, kami sedari bahawa kami perlu berhati-hati mensain kontrak dan tentang hak-hak penulis yang sebenarnya.


Bengkel ini lebih menjadi menarik apabila sesi terakhir kami dapat bersama dengan seorang Penulis Genre Fantasi-Thriller yang cukup berbakat besar iaitu Ahmad Patria Abdullah atau dengan panggilan mesranya ‘Abang Pat’. Dengan perkongsian yang cukup santai dan humor, kami diberi cukup banyak pesanan yang sangat berguna untuk kami sebagai penulis. Antaranya ialah :

1. Keikhlasan dalam menulis.

2. Menulis apa yang kita mahukan.

3. Belajar melalui kritikan (pengalaman beliau, beliau banyak mendapat kritikan daripada ayahanda beliau sendiri)


4. Teruskan saja menulis walau kita rasa karya kita tidak bagus dan kadangkala rasa ragu-ragu

5. Menghantar karya pada yang tahu menilai dan tidak berbahasa kasar dan kesat yang menjadi pembunuh semangat kita.

6. Kena mula menulis dari sekarang dan terus berkembang.

7. Apabila tiada ilham, banyakkan membaca dan banyak menonton filem.

8. Perlu bersemangat untuk penulis (lebih selamat, jangan bertangguh. Jangan tunggu)

9. Ketabahan untuk menulis.

10. Usaha menulis satu hari, satu muka surat sekurang-kurangnya.

11. Menulis bukan pasal duit dan permintaan, WE ARE BORN TO DO THIS THING.

12. Writers is a fighter. Fighting spirit kena ada.

13. Jangan pernah berhenti.

14. Untuk menghasilkan karya yang bagus, belajar dengan penulis yang kita minat. (beliau belajar banyak dari penulis barat, Tolkien)

15. Jangan terlampau detail, ‘Don’t say 10 words if you can use in 1 word’

16. Less is more

17. Keaslian cerita kita.

18. Gunakan bahasa persuratan. (Rujukan terbaik : PRPM (Pusat Rujukan Persuratan Melayu)

19. Menulis ikut gerak hati

20. Menulis secara natural. Tiada niat tertentu.

21. Pemilihan nama watak sangat penting. (Do Research)

22. Jangan gunakan bahasa dedatik.

23. Menulis di tempat yang sesuai dan selesa. (Terpulang pada penulis)


Beliau banyak juga menegaskan dari segi keikhlasan dan semangat waja seorang penulis.

Alhamdulilah, bengkel ini keseluruhannya banyak memberi impak positif dan kesedaran pada saya. Saya yang sangat baru dalam bidang ini juga dapat menimba ilmu dengan banyak sekali. Malahan, dapat bergaul dengan rakan peserta yang merupakan penulis yang hebat-hebat juga. Semangat saya semakin kuat dan semoga dengan ini saya juga dapat menjadi seorang penulis yang ikhlas dan berjiwa kental seperti rakan-rakan yang lain.


Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat. Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati sahabat semua. 



Friday 13 May 2016

TUGASAN 8 : LATIHAN BINAAN PLOT BERDASARKAN GAMBAR

NO 5



Ustaz Ghamidi yang merupakan Ketua Pasukan Skuad Rimba Hijau melihat setiap wajah anak-anak buahnya. Selepas berpenat lelah menjalani latihan dari pagi tadi. Mereka diminta berkumpul sebelum waktu rehat untuk sesi tarbiah. Kelihatan semua duduk dalam bentuk bulatan berhadapan dengan Ustaz Ghamidi yang mereka sangat hormati itu.


“Ingat lima perkara sebelum lima perkara,” Ustaz Ghamidi memulakan bicara. Masing-masing mula senyap dan menumpukan perhatian.


“Salah satu daripada lima perkara tersebut adalah ‘Hidup sebelum mati’. Hari ini saya mahu mengajak beberapa daripada rakan kita berkongsi, apakah perkara yang dia ingin segera tunaikan sebelum dia bertemu Tuhan.”


Semua berpandangan antara satu sama lain lalu melihat Ustaz Ghamidi semula. Air wajah mereka seolah-olah sudah bersedia dengan jawapan. Hanya menunggu siapa yang akan dipilih oleh Ustaz Ghamidi untuk berkongsikan mengenai perkara yang baru disebutkan tadi.


“Baiklah. Rakan pertama yang saya pilih adalah Sufian. Kongsikan Sufian. Apakah perkara yang kamu ingin segera tunaikan sebelum kamu bertemu Tuhan.”


Sufian berdehem sambil membetulkan kedudukannya. Dia memusingkan bahunya seperti membuat satu senaman lalu melihat Ustaz Ghamidi dengan wajah yang tenang. Dia menarik nafas.


“Saya ingin berbakti dengan ibu saya, ustaz. Saya adalah anak yatim. Ayah meninggal sejak umur saya masih muda. Ibu telah bertungkus lumus menjaga, menyara dan mendidik saya dan seorang adik saya. Jadi tiba masa saya pula untuk membalas kesemua jasanya. Saya ingin buat dia hidup bahagia.”


“Bagus Sufian. Kasih ibu memang tiada penghujungnya. Dialah satu-satunya insan yang sentiasa memikirkan tentang kita siang dan malam. Amat tidak adil jika kita tidak memikirkan tentangnya langsung. Walaupun kita tidak berjauhan dengan dia, kita hendaklah bertanyakan khabarnya. Apatah lagi jika kita berjauhan seperti ini. Lepas ni, masing-masing telefon ibu.”


Sesetengah daripada anggota skuad menunduk seperti terasa dengan suruhan Ustaz Ghamidi. Barangkali mereka terleka untuk bertanyakan khabar ibu masing-masing sebelum ini.


“Baik… Anuar. Sila kongsikan.”


Anuar yang duduk pada jarak yang agak hujung memanjang-manjangkan lehernya.


“Ustaz, kalau nak ikutkan banyak saya nak buat. Tapi, perkara utama saya nak tunaikan adalah bayar hutang.”


“Hutang apa itu Anuar?”


“Hutang saya pada orang lain yang belum saya bayar. Hutang duit maksud saya. Tapi ada juga janji-janji saya yang belum saya tunaikan. Jadi jika boleh, saya berdoa agar semua perkara ini dapat diselesaikan dulu sebelum saya pergi menghadap Allah.”


“Bagus Anuar. Perkara penting yang kita kena titikberatkan. Nampak kecil. Kadang-kadang kita culas. Namun, diharapkan kita tidak lupa, pertimbangan kita mungkin tergantung akibat perkara ini di akhirat kelak. Jadi, mulai hari ini, cuba masing-masing ingat, ada tak hutang-hutang kita yang masih belum kita langsaikan.”


“Baiklah… yang terakhir, saya nak Helmi. Tolong kongsikan pada kami apakah perkara yang kamu mahu segera tunaikan.”


“Saya nak mohon maaf, ustaz!”


“Kamu nak mohon maaf pada siapa?”


“Dengan semua orang. Tak kisahlah orang yang pernah saya sakiti atau tidak. Saya mahu mohon maaf dengan semua orang. Terseksa batin saya jika sebenarnya ada orang marah atau sakit hati pada saya. Padahal saya tidak tahu menahu tentang itu.”


“Betul Helmi. Saya setuju. Sebab itu disarankan bagi kita semua agar sentiasa menjaga percakapan dan perlakuan kita. Terutamanya, percakapan kita. Lidah kita ini bersifat tajam. Kalau kita sudah mengguriskan hati seseorang, perkara itu akan diingat sampai bila-bila. Kita hidup bermasyarakat. Lain orang, lain ragam. Terimalah kekurangan masing-masing seadanya. Jauhkan dari mengumpat. Berbaik sangka sentiasa.”


Kelihatan semua anggota skuad mengangguk kecil tanda setuju. Masing-masing seolah tenggelam dengan pemikiran sendiri. Apa yang diperkatakan oleh Ustaz Ghamidi tadi bagai menusuk jiwa mereka. Kadang-kadang kita terlalu bersifat justifikasi. Semua orang tidak kena di mata kita.


“Tidak mahu memanjangkan masa lagi. Saya tahu kamu semua juga perlu berehat sebelum menjalani latihan selepas makan malam nanti. Saya yakin semua sudah faham dan sedar akan kepentingan perkara-perkara yang dikongsikan rakan-rakan kita tadi. Namun, ada satu perkara yang tidak disebut tadi dan saya mahu kongsikan. Perkara yang kita ambil ringan secara tidak sedar. Kamu semua rasa apa perkara tersebut?”


Jeda.


“Solat! Solat adalah tiang agama. Tanpa solat, kita menjadi muslim yang tidak bernyawa. Solat itu seolah-olah jantung kita. Penting bagi kita menjaga kualiti solat kita sendiri. Selain berusaha menjaga tertib solat, membaca bacaan solat dengan betul dan khusyuk. Kita perlu juga menjaga waktu solat kita. Solatlah pada awal waktu. Dari situ, timbul kepuasan pada diri kita sendiri nanti. Baiklah semua, jaga solat kita, ia adalah bekalan utama kita di akhirat nanti. Semua faham? Jika faham, laung Allahuakbar! Sebanyak tiga kali.”


Dengan semangat, kelihatan semua anggota skuad melaung dengan penuh semangat sambil mengangkat sebelah tangan mereka ke langit. Sehingga suara mereka bergema-gema.
“Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!”


“Bagus. Saya akhiri dengan tasbih kifarah dan Surah Al-Asr dan kamu semua boleh bersurai.”



Semua menunduk dan menadah tangan. Suasana sepi seketika. Hanya kedengaran suara berbisik membaca surah. Apabila selesai, semua anggota skuad bangun dan menyalami antara satu sama lain sambil membaca salawat Nabi. Begitulah ukhuwah Islami yang dicintai Allah. Mereka semua akhirnya bersurai. 

Wednesday 11 May 2016

TUGASAN 8 : LATIHAN BINAAN PLOT BERDASARKAN GAMBAR

NO 4



Kelihatan Amir dan Usop berdiri di depan cermin sambil mengaya-gayakan topeng yang mereka akan pakai di Majlis Perpisahan pelajar semester akhir yang bakal menamatkan pengajian. Majlis perpisahan itu bertemakan ‘Topeng’. Oleh itu, pelajar-pelajar diminta untuk memakai apa-apa jenis topeng. Asalkan tidak berunsurkan perkara yang pelik-pelik dan terlalu ngeri. Malah, beberapa kategori anugerah akan diberikan kepada pelajar yang terpilih.

Amir mengaya-gayakan topengnya yang separuh Raja Rimba dan separuh Raja Belang itu. Begitu memukau. Usop pula hanya akan memakai hud hitam. Biasa saja. Namun dia akan memakai pakaian ala-ala perwira. Di sudut yang jauh, Reykal hanya memerhati gelagat mereka. Dua kawan serumahnya itu tidak perlu bersusah payah lagi memikirkan topeng apa yang mereka akan pakai. Masing-masing sudah mempunyai topeng yang dia akui sangat luar biasa. Hanya dia saja masih pening kepala. Dia tidak punya topeng lagi. Dia seorang yang pantang kalah, dia mahu nampak unik dan menjadi perhatian nanti. Dia mahu menang.

Dia melepaskan keluhan kecewa lalu melontarkan pandangannya ke arah tivi yang sedang menyiarkan konsert kumpulan muzik rock. Jeda. Tiba-tiba matanya terbeliak. Dia memetik jari seolah-olah sudah mendapat idea. Dia pantas mencapai bahan-bahan yang bakal digunakan lalu masuk ke bilik dan pantas mengunci pintu. Usop dan Amir yang hanya hairan melihat Reykal yang tidak mempedulikan pandangan mereka.

Dia duduk di kerusi meja belajar lalu meletakkan kesemua bahan-bahan tadi di atas meja. Kain, jarum, gam, gunting, manik-manik, kertas dan beberapa bahan lagi turut kelihatan. Tanpa berlengah dia memasukkan benang ke dalam lubang kecil jarum dan meneruskan misinya sambil menyeringai. Hujan dan bunyi petir menaikkan lagi suasana emosinya. Sungguh saspen!

Pada keesokan harinya, pada Majlis Perpisahan tersebut telah berlangsung dengan jayanya. Ramai yang memakai topeng-topeng yang menarik dan unik. Hingga masa yang dinantikan, pelajar-pelajar yang bakal menerima anugerah telah pun dipanggil untuk naik ke atas pentas.

Reykal menunduk. Dia memakai topeng yang sangat pelik sehingga menutup hampir kesemua wajahnya. Semuanya musnah. Harapannya mahu memenangi anugerah Topeng Luar Biasa namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Dia melepaskan lagi keluhan yang sungguh berat. Amir yang berada di sebelahnya memeluk bahunya.

“Sabarlah Reykal. Itulah aku dah nasihatkan. Jangan tamak sangat. Biar luar biasa tapi biasa. Ini aku tengok muka kau dah serupa alien dah. Penyudahnya kau dapat anugerah Topeng Paling Buruk. Takpalah Reykal… menang jugalah tu. Sabar”


Reykal mengenggam tapak tangannya. Dia berkalih melihat Amir seketika. Antara berang atau tenang mendengar pujukan kawannya itu. Dia sudah siap menyingsing lengan bajunya. Namun akhirnya, dia menunduk dan mengeluh sekali lagi. Dia pasrah. Tiada rezekilah nampaknya.

TUGASAN 8 : LATIHAN BINAAN PLOT BERDASARKAN GAMBAR

NO 3




“Khai… Khai, kau tengoklah sana tu.”

Jeda.

Roslan berkalih melihat Khai yang tidak memberi apa-apa respon terhadap apa yang disuruhnya tadi. Baru dia perasan, Khai asyik tersengih-sengih sambil melihat skrin telefon bimbitnya. Sah, sedang berbalas SMS cinta.

Roslan mengetap bibir lalu mencapai stokin disisinya lalu mencampak ke arah Khai sehingga mengena pada wajah Khai yang kini melatah-latah akibat buatan Roslan tadi. Roslan menutup mulutnya menahan tawa.  Terkerut-kerut muka Khai tidak tahan dengan bau busuk stokin Roslan barangkali.

“Woi! Kenapa dengan kau ni? Tak boleh tengok orang senang langsunglah.”

Khai membaling semula stokin busuk Roslan ke arah muka kawan karibnya itu. Pantas ditepis Roslan yang sedang ketawa mengejek kepadanya.

“Alah… maafkanlah aku. Bukan aku sengaja pun. Kaulah yang buat tak tahu saja bila aku cakap dengan kau. Sibuk sangat nak balas mesej awek. Penyudahnya aku cakap dengan tunggul.”

Khai masih berang. Dia mengosok-gosok hidungnya lagi. Bagai terkenang-kenang bau stokin Roslan bacin yang amat itu.

“Itu! Aku suruh kau pandang sana.”

Khai pantas berpaling melihat apa yang ditunjuk Roslan padanya. Kelihatan beberapa rakannya sedang berkumpul sambil berhadapan dengan jurulatih mereka sambil mengangkat tangan mereka dan memegang beberapa botol air. Khai mengerut kehairanan.

“Kenapa dengan mereka itu? Coach pun nampak berang saja.”

“Osman, Shahril, Nasrik dengan Ashraf tulah. Diorang kan takda masa coach suruh kita lari pusingan 50 kali tadi. Rupanya diorang menyorok kat tandas.”

“Sampai macam tu sekali. Macamlah diorang tak biasa sebelum ni.”

“Diorang malaslah tu. Penyudahnya masing-masing tanggung sendiri.”

“Vincent dengan Daud tu dah kenapa menyibuk sekali kat situ. Bukankah diorang ada tadi masa kita lari.”

“Memang ada. Dua orang tu lagi satu hal. Masa yang lain kena denda. Diorang boleh ketawa terkekek-kekek  kat depan coach. Sudahnya coach tambah berang. Apalagi, diorang pun kenalah. Nasib baik kena angkat tangan saja.”

“Hish!Hish!Hish! Itulah… kita ni memang kena fikir dulu apa-apa hal sebelum bertindak atau nak melakukan sesuatu. Kalau tidak, akhirnya diri kita juga yang merana.”

Roslan mengangguk setuju.

“Betul kata kau tu Khai. Aku setuju sangat.”

Priiiit!!!

“Roslan! Khai! Apa korang duduk bersantai lagi kat situ ah! Cepat masuk barisan! Kalau tidak, dengan korang sekali kena.”


Mendengar jeritan coach yang seumpama Raja Rimba itu, kelihatan Roslan dan Khai serta merta bangun dan berlari seperti lipas kudung ke depan lalu cepat-cepat mereka memasuki barisan. Mereka bakal menempuhi latihan bola sepak yang sangat memenatkan hari ini. Memandangkan emosi coach yang tidak baik dan mereka sering dimarahi. Roslan dan Khai melepaskan keluhan kecewa. Orang lain punya fasal, mereka sekali kena. 

TIPS MEMBINA PROFIL KARAKTER

Assalamualaikum w.b.t

Bismillahirahmannirahim...

Baru saja selesai menonton cenel seorang penulis barat di laman web YOUTUBE yang bernama Jenna Moreci yang berkongsikan bagaimana untuk kita membina profil sesuatu karakter untuk karya yang kita hendak tulis nanti.

Alhamdulilah, banyak juga yang dikongsikan oleh penulis berikut yang saya rasa tidak rugi jika kita menggunakannya. Menulis karya tanpa memahami watak-watak yang kita cipta mampu menyekat idea untuk menulis. Seterusnya kita akan mengalami 'Writer's Block' yang berterusan.

Karakter adalah asas bagi sesuatu karya. Amat penting kita memahami watak yang kita cipta sebelum kita menulis kisah mereka. Banyak ciri-ciri yang perlu kita pandang untuk sesuatu watak itu.

Antara tips-tips yang dikongsikan untuk membina profil karakter ialah :

A) Status

1. Jantina

2. Umur

3. Budaya, Keturunan dan etnik

4. Ketinggian

5. Bentuk/jenis tubuh 

6. Penampilan

7. Asal usul watak/ dimana dia tinggal?



B) Perhubungan

1. Perhubungan dengan famili.

- contohnya, macam mana perhubungan watak dengan ibu dan ayahnya. Adakah watak mempunyai adik. Bagaimana hubungan dia dengan adik-beradiknya. Dan sebagainya.

2. Perhubungan dengan kawan-kawan



C) Sulit

1. Orientasi Seksual 

- Contohnya, adakah watak adalah kateogri straight, heterosexual atau homosexual dan sebagainya.

2. Ciri-ciri idaman yang watak suka terhadap lelaki/perempuan

- contohnya, jika watak adalah perempuan, apakah ciri-ciri yang dia suka pada seseoran lelaki. Misalannya, lelaki yang kurus dan berjanggut atau lelaki yang berbadan sado dan berambut jenis trojan. Dan sebagainya.

3. Pengalaman seksual

4. Pengalaman dalam perhubungan/percintaan



D) Kemahiran

1. Kemahiran

2. Pekerjaan/Akademik

3. Hobi



E) Ciri-ciri personaliti dan karakter

1. Introvert atau Extrovert

2. Menggunakan otak kiri atau kanan

3. Apakah kekuatan watak?

4. Kelemahan

5. Impian, matlamat dan aspirasi

6. Kerpercayaan

7. Ketakutan

8. Apakah ketidakyakinan watak?

9. Dia sanggup berkorban untuk siapa?

- Contohnya, dia sanggup berkorban dan melakukan apa saja untuk melindungi keluarganya. Lebih spesifik, siapa? Contohnya untuk maknya, adiknya atau sebagainya.

Inilah tips-tips yang boleh kita gunakan. Semoga dapat membantu. Untuk informasi lanjut, sahabat-sahabat boleh melawat tumblr Jenna Moreci  atau cenel Jenna Moreci di youtube.


Terima kasih kerana sudi membaca :)




Sunday 8 May 2016

BENGKEL PENULISAN BONDA NOR 2016




Alhamdulilah, pada 8 Mei 2016 bersamaan Hari Ahad saya berpeluang menghadiri Bengkel Penulisan Bonda Nor yang diadakan di Surau Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi.

Secara jujur, saya hampir menarik diri daripada bengkel ini. Mungkin kerana saya mempunyai ‘social phobia’. Saya terlalu memikirkan apa yang orang fikir dan rasa tentang saya. Saya seorang yang amat pendiam dan mengambil masa untuk rapat dengan seseorang. Atas pengalaman yang saya lalui, kerana sifat saya ini sesetengah orang jadi kurang selesa dengan saya. Jadi saya sangat fobia dan takut.

Namun, suami saya telah menasihati dan menyarankan saya untuk menunaikan Solat Sunat Istikharah untuk meminta petunjuk daripada Allah swt dan saya lakukan apa yang disarankan. Apa jadi? MashaAllah… saya mendapat impak yang sangat positif melalui bengkel ini. Allah menggerakkan hati saya untuk kuat menyertai bengkel ini kerana mahu saya memperolehi satu kenikmatan yang cukup besar dan untuk saya mempelajari dan dikongsi ilmu oleh insan-insan yng cukup istimewa dan disayangi Allah dan  benarlah petunjuk Allah itu memberi satu kepuasan dan kebaikan serta hikmah. Pergantungan dan kekuatan hakiki itu adalah dari Allah SWT semata. Terima kasih Ya Allah.

Saya sifatkan Bengkel Penulisan Bonda Nor ini 2 dalam 1. Selain diberi perkongsian tentang ilmu penulisan. Kami juga peserta mendapat ilmu dan peringatan dari sudut Rohaniah. Antaranya ialah memperbetulkan niat apabila menulis(Muahadah). Selain itu, adalah kesungguhan(Mujahadah) kita menjadi penulis. Apa yang boleh dilakukan. Antara yang dicadangkan adalah melakukan Solat Sunat Hajat.




Kami juga dididik untuk menjadi penulis yang sentiasa menulis perkara yang baik-baik, tidak ada unsur yang memudaratkan diri sendiri (lucah misalannya), perkara ini jadi mudah dan terkawal apabila kita merasakan diri kita diawasi(Muraqabah). Bila kita menulis perkara yang tidak baik, bukan saja kita mendapat impak negative di dunia, malah kita mendapat balasan berpanjangan hingga ke akhirat nanti. Selain itu, kami juga dididik supaya menjadi penulis yang sentiasa merenung diri(Muhasabah) dan memperbaiki dir sendiri(Muaqabah).  Dan banyak lagi ilmu yang masih tidak saya kongsikan di sini. InshaaAllah... next post ok. :)

Sepanjang bengkel ini, kami juga dikongsi pengalaman dan ilmu dari Para Penulis hebat yang diantaranya ialah Cik Rahmah Moktar, Tuan Ammar Kamilin, Tuan Abdul Muiez Ruslee, Tuan Dr Mohd Khamizi Aziz, Cik Puan Siti Malini Mat dan slot terakhir yang dikendalikan oleh 'Bapa Viral Kebangsaan' iaitu Tuan Khairul Hakimin Muhammad




(Malangnya, gambar ini saja yang saya sempat ambil memandangkan terlalu khusyuk. Hehe.)

Alhamdulilah, dapat beramah mesra bersama semua peserta yang terdiri daripada penulis dan bakal penulis yang hebat dan ‘mesra alam’ sedikit banyak meningkat keyakinan dan memberi impak yang sangat positif pada saya. Seakan masalah-masalah saya hilang serta merta. Kami juga saling bertukar-tukar cenderamata.



Saya mengambil peluang ini juga untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Bonda Nor kerana menganjurkan bengkel ini dan berkongsi ilmu dengan kami. Alhamdulilah, dengan keikhlasan dan kesungguhan Bonda Nor, segala mesej yang disampaikan diterima seratus peratus dan mudah difahami. Saya juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua AJK yang turut menjayakan bengkel ini. Mudah-mudahan segalanya diberkati dan diredhai Allah. Saya tunggu next Bengkel Penulisan Bonda Nor. Hehe...

Salam Ukhuwah dan sayang daripada saya. Terima kasih sekali lagi.



(Sedihnya, saya terlupa bawa duit. Rasa geram je tak dapat beli buku-buku dan mendapat autograph dari penulis-penulis. Takpalah… ada rezeki di lain  hari. Saya sentiasa menyokong semuanya.)








Thursday 5 May 2016

SOALAN 6

Hak Milik ITBM

6. Dalam sebuah filem koboi yang teruk, seorang lelaki jahat bertopi koboi berjalan masuk ke dalam sebuah bar. Dia kelihatan berbahaya dan marah. Ceritakan perkara yang berlaku dengan pengakhiran yang menggembirakan.

JAWAPAN :

     Seorang lelaki yang bertobi koboi berjalan menuju ke meja bar di depan dengan wajah yang sangat bengis dan dalam keadaan marah. Suasana sepi seketika. Pelanggan-pelanggan yang berada di situ hanya melihat dirinya dengan penuh ketakutan. Takut diapa-apakan. Apatah lagi melihat dua pucuk pistol yang tergantung di sebelah kiri dan kanan tepi seluar lelaki bertopi koboi itu.

Keting! keting!

Rantai kasut butnya terus berbunyi. Dengan suara yang garau dan kasar dia memesan minuman. pelayan yang berada di situ segera menyiapkan pesanannya. Bukan mereka tidak kenal lelaki itu. Lelaki yang terkenal dengan kes jenayah. Akhirnya dia mengambil tempat sebelah hujung yang jauh dengan pelanggan lain. Satu keluhan lega dilepaskan oleh mereka semua. Suasana riuh semua.

Dia menyandar dan mengeluh. Memang dia seorang yang jahat namun hari ini merupakan hari malapetaka baginya. Seolah-olah hukum karma. Biasanya dia yang mempedajalkan orang lain. Kini sudah berlaku sebaliknya pula. Mula-mula Kudanya dicuri orang lain. Sudah berjalan kepenatan sambil dipayungi matahari terik. Baru dia sedar yang kocek seluarnya telah terkoyak menyebabkan duit sakunya tercicir. Kini, perutnya pula sudah membuat irama muzik koboi.

Dia meneguk air minumannya dengan rakus lalu mengeluh sekali lagi. Dia melihat air minumannya yang tinggal separuh. Boleh saja dia minta air percuma dengan mengambil kesempatan menunjukkan kuasanya.Tapi, dia sangat penat. Tiba-tiba ada seorang budak lelaki menarik kerusi berhadapan dengannya lalu duduk melihat wajahnya sambil tersenyum. Terkerut kening lelaki bertopi koboi itu seketika.

Adakah ini salah satu malapetaka?, fikir dirinya. Dia melihat lagi budak itu dengan wajah yang garang tetapi budak itu langsung tidak takut dan terus melihatnya sambil tersenyum.

“Hei budak! Kau nak apa?” tanyanya dengan kasar.

“Pakcik… pakcik dari mana?”

“Pakcik?”

Terjongket-jongket misai tebal lelaki bertopi koboi apabila dipanggil begitu. Namun, soalan budak itu itu lebih pelik. Adakah itu soalan pertama yang sesuai apabila bertanya dengan seseorang yang belum dikenali?

“Sibuk saja. Siapa kau sebenarnya? Mana ayah dan ibu kau?” lelaki itu bertanya lagi dengan kasar.

“Saya budak jalanan. Ayah dan ibu saya sudah tiada.”

“Dasar budak jalanan menyibuk. Pergi sana! Jangan kacau aku. Aku tiada duit nak…”

Belum sempat lelaki bertopi koboi itu menghabiskan ayatnya. Terbuntang mata lelaki bertopi koboi itu melihat secubit roti yang disua kepadanya. Dia melihat budak lelaki itu pula dengan pandangan yang kosong.

“Saya nampak pakcik tadi berjalan panas-panas. Muka pakcik pun sekarang nampak pucat. Saya tahu pakcik lapar. Jadi, saya nak berkongsi dengan pakcik roti ini. Kakak yang jual roti di kedai sebelah sana beri pada saya percuma. Nahlah pakcik!”

Jeda.

Akhirnya lelaki bertopi koboi itu tersenyum untuk pertama kali hingga menampakkan gigi kuningnya. Namun, masih mengerunkan pada sesiapa yang melihatnya. Ini adalah pertama kali juga ada seseorang yang berbudi kepadanya dan melihatnya seperti insan-insan lain. Dia menganga mulutnya dan budak lelaki itu pantas menyuapkannya.

Mereka kini sedang berbual dan kelihatan mesra. Ada sesuatu perubahan yang berlaku pada lelaki bertopi koboi itu secara tidak diduga. Dia tekad untuk membuang topi koboi yang menjadi lambang keganasan atau keagungan baginya. Dia berhajat untuk menjadikan budak lelaki itu sebagai anak angkatnya.

TUGASAN 8 : LATIHAN BINAAN PLOT BERDASARKAN GAMBAR

NO 2




Tiada sinaran mentari menyinari pagi Jumaat itu. Langit kelihatan kelabu bagai memahami perasaan yang dirasai pekerja-pekerja sebuah syarikat penerbangan yang sedang berkumpul di dewan utama. Masing-masing kelihatan sebak dan sayu. Kelihatan selendang atau tudung hitam dipakai oleh pekerja-pekerja wanita. Mereka kelihatan tesedu-sedu sambil memeluk rakan-rakan mereka. Berita yang mereka terima pada pagi itu membuatkan dada mereka berat seperti dibebani sesuatu. Kelihatan seorang lelaki berumur antara 50-an naik ke atas pentas kecil di depan tempat mereka berkumpul.


“Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Alhamdulilah, terima kasih Tuhan kerana masih memberi kita kesempatan untuk berkumpul pada pagi ini. Telah dimaklumkan, kita semua di sini adalah untuk memperingati pemergian seorang kapten, ketua, pembimbing serta seorang sahabat yang baik dan begitu dekat dengan hati kita. Beliau telah meninggalkan kita untuk selamanya. Apa yang boleh saya katakan, beliau sangat istimewa orangnya dengan budi pekertinya serta sikap rendah diri dan bertoleransi. Pemergiannya amat menyedihkan hati kita semua. Namun, sentiasa kita ingat akan pesanan beliau bahawa kita di dunia ini mestilah terus berjuang untuk hidup dan berbakti untuk orang ramai. Semoga Allah sentiasa merahmati beliau.”


Pembantu Kapten turun dari pentas dengan langkah yang lemah sebaik sahaja menghabiskan ucapannya. Meskipun hatinya juga amat merasa kesedihan namun itulah tugasnya. Kini, tugasnya sudah selesai. Kedengaran tangisan yang makin kuat dan tidak terkawal.


Srettt!


Emilia pantas menyedut hingusnya supaya tidak mengalir keluar. Dia menutup hidungnya yang kemerahan dengan sehelai tisu. Air matanya sudah merah dan mengecil akibat menangis terlalu banyak. Seperti rakan-rakannya yang lain. Kapten Ismail bukan setakat ketua bagi dirinya malah lebih seperti seorang ayah. Insan itu sentiasa membimbing dan menasihatinya sepanjang dia berkhidmat. Menjadikan Emilia dan rakan-rakan yang lain seorang pekerja yang makin bersemangat dalam melaksanakan tugas-tugasnya.


Dia berkalih pula melihat Kelly di sebelahnya yang juga tidak dapat mengawal tangisan. Wajah rakannya itu juga sudah merona merah. Mata mulai sembab. Dia beralih pula melihat gambar Kapten Ismail yang diletakkan di dalam bingkai dan dipamerkan di atas meja. Dia melangkah perlahan menuju ke situ lalu meletakkan bunga putih tanda simbolik untuk selamat tinggal untuk selamanya.



“Terima kasih Kapten,” ucapnya perlahan.

DAY 1: LIST 10 THINGS THAT MAKE YOU HAPPY

Well, this question may look easy but I was taking my times to list it. Perhaps too many to list.

So, here we go.

Ten things that make me really happy.

1. Worshipping Allah
I believe our source of happiness is come from our Deen. Truly I’m not perfect but to be a good Muslim is always follow what the prophet taught. Happiness will come for those who pleasing Allah.

2. Hanging out with my lovely husband
I love my husband very much. He is my best friend forever. Spending my quality time with him is my also part of my happiness. Basically, what I’m trying to say is, I love him. Love. Love. Love

3. Spend time with my family
‘Bujang Lapok’ I would say since only 3 members of my family. My mom, my brother and myself. It’s something I treasure most.

4. Writing
Oh how I love writing. Sure it’s a bit painful to create a story, making plots and drama but in the end, it feel so good after finishing a story. Hopefully the day will come for me to publish my own novel or storybook. Aamiin!

5. Reading
If I love writing, then reading is a must to love as a writer. I have my own motto about reading –
“Read until you pleased”

6. “Bleaching” my eyes spending time at bookstores and libraries.
Scent of books is my favourite thing ever. Library is like a garden to me and bookstore is the flower that I want to take it homer. I could spend all day long at library reading books.

7. My family and friends
Any normal human being would say family is the closest to our heart.
That’s what I feel. Happiness mostly comes from our own family.

8. Play with cats
I love cats. They are my therapy.

9. Watching Japan Drama and Anime
Culture, art, anime, manga and language. Almost everything I love about Japan. What a lovely country to visit… one day perhaps J

10. Travelling

Travelling is something would boost my happiness since I still dream it to this day, especially travelling to Japan. That would be the best experience for me!


Catatan : Selepas di semak oleh Cik Suami, ternyata banyak kesalahan dan kesalahan ayat yang saya tulis. Hasil di atas banyak yang telah diubah oleh suami saya. InshaaAllah, untuk yang seterusnya, saya akan tampilkan sekali hasil asal yang telah ditulis oleh saya. Memandangkan yang pertama ini saya terlupa untuk save hasil saya sendiri. Walau bagaimanapun, inilah 10 perkara yang membuatkan saya bahagia. :)

Its oke, practice make perfect! :)

LATIHAN MENULIS BAHASA INGGERIS


Sumber yang saya dapat melalui laman sosial Facebook memanggil saya untuk menyahut cabaran ini. Memandangkan saya tidaklah berapa mahir menulis dalam Bahasa Inggeris. 

So, I'm in! :)

Alhamdulilah, suammi tercinta setuju untuk membantu serta menjadi cikgu dan editor secara tidak langsung. Ikuti penulisan yang telah saya tulis. Sahabat-sahabat boleh cari di ruang entri yang berlabel 'Latihan Menulis Bahasa Inggeris'

Sahabat-sahabat pun boleh mencabar diri selama 30 hari. Semoga berjaya :)

Wednesday 4 May 2016

SOALAN 5

(Hak Milik ITBM)


5. Gambarkan benda melekit yang terlekat di dalam bekas yang terletak di bahagian bawah singki. Jangan guna perkataan menjijikkan atau menggelikan.

JAWAPAN :

    Minggu ini merupakan tugas Nurul untuk mengemas rumah. Di saat kawan mereka pergi beriadah di luar. Dia mengambil peluang untuk mengemas rumah pada hari ini. Saat dia sedang mengemas bahagian dapur, dia terhidu bau yang kurang menyenangkan. Puas dia mencari dari mana datangnya bau itu lalu dia terpandang sebuah bekas polisterin berwarna putih jernih. Ia amat meloyakan Nurul apabila menyedari isi bekas itu adalah nasi yang telah basi dan sudah berlendir.

TUGASAN 8 : LATIHAN BINAAN PLOT BERDASARKAN GAMBAR

NO 1




Di dapur, kelihatan Raihanah dan Nadhirah sudah lengkap memakai apron yang bercorak bunga-bunga kecil berwarna ungu. Sengaja mereka memakai corak yang sama. Sehati sejiwa lah katakan. Nadhirah mahu memasak juadah makan malam. Disebabkan dia tidak mahir memasak, Raihanah telah menawarkan diri untuk membantunya.

“Ok… Nadhirah. Menu kita ialah Nasi Goreng. Aku dah siap hiriskan bawang putih dan merah serta siang sayur sawi dan tumbuk cili untuk kita gunakan sebagai rencah dengan kiub ayam maggi. Sekarang ini, tiba masa untuk kau masak. Jangan risau, aku tolong ajarkan,” Raihanah menerangkan dengan lancar ala-ala cikgu memasak gayanya.

Nadhirah mengangguk semangat sambil menggenggam tapak tangannya. Dia sangat bersemangat walaupun ini merupakan pengalamannya untuk pertama kali. Tambahan lagi, kawan baiknya sendiri berbesar hati untuk menolongnya. Disebabkan dia mahu membuat satu kejutan untuk mami dan dedi apabila mereka pulang dari tempat kerja.

Semua bahan sudah siap. Kuali juga sudah diletakkan atas dapur gas. Tinggal mahu hidupkan api dan menuang minyak. Selepas itu, mereka boleh berperang dengan senjata mereka iaitu senduk. Namun, saat Nadhirah memutar knob gas. Api tidak ternyala. Dia memutar lagi untuk beberapa kali. Dia mengalih perlahan. Raihanah sedang berpeluk tubuh melihatnya. Nadhirah senyum kambing.


                                                                        * * *


Ramai yang berkunjung di pasar malam yang dibuka setiap hari Rabu itu. Raihanah dan Nadhirah juga kelihatan berjalan-jalan sambil kepala mereka tidak henti menoleh melihat gerai-gerai makanan yang ada. Akhirnya, mereka membuat keputusan untuk membeli makanan saja di situ memandangkan mereka tidak dapat memasak kerana gas habis.
“Maafkan aku Raihanah. Aku pun tak sangka gas habis. Kalau aku tahu, awal-awal lagi aku dah minta tolong dedi gantikan gas.”

“Takpalah… hal kecil. Aku pun terlupa nak pastikan dengan kau. Aku letakkan benda tu sebagai perkara utama sebelum aku memasak. Kalau tidak, penyudahnya macam inilah.”
Nadhirah mengangguk setuju. Mereka terus berjalan dan mencari-cari makanan untuk dibeli namun tidak ada apa yang menarik perhatian mereka. Akhirnya, pandangan mata mereka terhenti melihat sebuah gerai yang kelihatan ramai pembeli. Mereka sama-sama berpandangan.

“Cukupkah kalau nak beli satay sosej dan nugget je?” tanya Raihanah melihat Nadhirah yang seolah-olah melihatnya dengan mata bersinar-sinar. Dia tahu itu merupakan makanan feveret Nadhirah.

Nadhirah mengangguk banyak kali. Raihanah menghembus nafas.

“Ok! Jom… lepas ni kita pergi gerai lain pula. Kena belikan juga juadah untuk mami dan dedi kau.”

Nadhirah mengangguk sekali lagi. Sudah seperti anak kecil yang taat kepada ibu pula. Mereka menuju perlahan ke gerai itu dan membeli secukup yang boleh. Hampir satu jam mereka pun pulang dan tidak sabar lagi untuk menghidang dan menikmati juadah yang mereka beli untuk makan malam.