Friday 13 May 2016

TUGASAN 8 : LATIHAN BINAAN PLOT BERDASARKAN GAMBAR

NO 5



Ustaz Ghamidi yang merupakan Ketua Pasukan Skuad Rimba Hijau melihat setiap wajah anak-anak buahnya. Selepas berpenat lelah menjalani latihan dari pagi tadi. Mereka diminta berkumpul sebelum waktu rehat untuk sesi tarbiah. Kelihatan semua duduk dalam bentuk bulatan berhadapan dengan Ustaz Ghamidi yang mereka sangat hormati itu.


“Ingat lima perkara sebelum lima perkara,” Ustaz Ghamidi memulakan bicara. Masing-masing mula senyap dan menumpukan perhatian.


“Salah satu daripada lima perkara tersebut adalah ‘Hidup sebelum mati’. Hari ini saya mahu mengajak beberapa daripada rakan kita berkongsi, apakah perkara yang dia ingin segera tunaikan sebelum dia bertemu Tuhan.”


Semua berpandangan antara satu sama lain lalu melihat Ustaz Ghamidi semula. Air wajah mereka seolah-olah sudah bersedia dengan jawapan. Hanya menunggu siapa yang akan dipilih oleh Ustaz Ghamidi untuk berkongsikan mengenai perkara yang baru disebutkan tadi.


“Baiklah. Rakan pertama yang saya pilih adalah Sufian. Kongsikan Sufian. Apakah perkara yang kamu ingin segera tunaikan sebelum kamu bertemu Tuhan.”


Sufian berdehem sambil membetulkan kedudukannya. Dia memusingkan bahunya seperti membuat satu senaman lalu melihat Ustaz Ghamidi dengan wajah yang tenang. Dia menarik nafas.


“Saya ingin berbakti dengan ibu saya, ustaz. Saya adalah anak yatim. Ayah meninggal sejak umur saya masih muda. Ibu telah bertungkus lumus menjaga, menyara dan mendidik saya dan seorang adik saya. Jadi tiba masa saya pula untuk membalas kesemua jasanya. Saya ingin buat dia hidup bahagia.”


“Bagus Sufian. Kasih ibu memang tiada penghujungnya. Dialah satu-satunya insan yang sentiasa memikirkan tentang kita siang dan malam. Amat tidak adil jika kita tidak memikirkan tentangnya langsung. Walaupun kita tidak berjauhan dengan dia, kita hendaklah bertanyakan khabarnya. Apatah lagi jika kita berjauhan seperti ini. Lepas ni, masing-masing telefon ibu.”


Sesetengah daripada anggota skuad menunduk seperti terasa dengan suruhan Ustaz Ghamidi. Barangkali mereka terleka untuk bertanyakan khabar ibu masing-masing sebelum ini.


“Baik… Anuar. Sila kongsikan.”


Anuar yang duduk pada jarak yang agak hujung memanjang-manjangkan lehernya.


“Ustaz, kalau nak ikutkan banyak saya nak buat. Tapi, perkara utama saya nak tunaikan adalah bayar hutang.”


“Hutang apa itu Anuar?”


“Hutang saya pada orang lain yang belum saya bayar. Hutang duit maksud saya. Tapi ada juga janji-janji saya yang belum saya tunaikan. Jadi jika boleh, saya berdoa agar semua perkara ini dapat diselesaikan dulu sebelum saya pergi menghadap Allah.”


“Bagus Anuar. Perkara penting yang kita kena titikberatkan. Nampak kecil. Kadang-kadang kita culas. Namun, diharapkan kita tidak lupa, pertimbangan kita mungkin tergantung akibat perkara ini di akhirat kelak. Jadi, mulai hari ini, cuba masing-masing ingat, ada tak hutang-hutang kita yang masih belum kita langsaikan.”


“Baiklah… yang terakhir, saya nak Helmi. Tolong kongsikan pada kami apakah perkara yang kamu mahu segera tunaikan.”


“Saya nak mohon maaf, ustaz!”


“Kamu nak mohon maaf pada siapa?”


“Dengan semua orang. Tak kisahlah orang yang pernah saya sakiti atau tidak. Saya mahu mohon maaf dengan semua orang. Terseksa batin saya jika sebenarnya ada orang marah atau sakit hati pada saya. Padahal saya tidak tahu menahu tentang itu.”


“Betul Helmi. Saya setuju. Sebab itu disarankan bagi kita semua agar sentiasa menjaga percakapan dan perlakuan kita. Terutamanya, percakapan kita. Lidah kita ini bersifat tajam. Kalau kita sudah mengguriskan hati seseorang, perkara itu akan diingat sampai bila-bila. Kita hidup bermasyarakat. Lain orang, lain ragam. Terimalah kekurangan masing-masing seadanya. Jauhkan dari mengumpat. Berbaik sangka sentiasa.”


Kelihatan semua anggota skuad mengangguk kecil tanda setuju. Masing-masing seolah tenggelam dengan pemikiran sendiri. Apa yang diperkatakan oleh Ustaz Ghamidi tadi bagai menusuk jiwa mereka. Kadang-kadang kita terlalu bersifat justifikasi. Semua orang tidak kena di mata kita.


“Tidak mahu memanjangkan masa lagi. Saya tahu kamu semua juga perlu berehat sebelum menjalani latihan selepas makan malam nanti. Saya yakin semua sudah faham dan sedar akan kepentingan perkara-perkara yang dikongsikan rakan-rakan kita tadi. Namun, ada satu perkara yang tidak disebut tadi dan saya mahu kongsikan. Perkara yang kita ambil ringan secara tidak sedar. Kamu semua rasa apa perkara tersebut?”


Jeda.


“Solat! Solat adalah tiang agama. Tanpa solat, kita menjadi muslim yang tidak bernyawa. Solat itu seolah-olah jantung kita. Penting bagi kita menjaga kualiti solat kita sendiri. Selain berusaha menjaga tertib solat, membaca bacaan solat dengan betul dan khusyuk. Kita perlu juga menjaga waktu solat kita. Solatlah pada awal waktu. Dari situ, timbul kepuasan pada diri kita sendiri nanti. Baiklah semua, jaga solat kita, ia adalah bekalan utama kita di akhirat nanti. Semua faham? Jika faham, laung Allahuakbar! Sebanyak tiga kali.”


Dengan semangat, kelihatan semua anggota skuad melaung dengan penuh semangat sambil mengangkat sebelah tangan mereka ke langit. Sehingga suara mereka bergema-gema.
“Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!”


“Bagus. Saya akhiri dengan tasbih kifarah dan Surah Al-Asr dan kamu semua boleh bersurai.”



Semua menunduk dan menadah tangan. Suasana sepi seketika. Hanya kedengaran suara berbisik membaca surah. Apabila selesai, semua anggota skuad bangun dan menyalami antara satu sama lain sambil membaca salawat Nabi. Begitulah ukhuwah Islami yang dicintai Allah. Mereka semua akhirnya bersurai. 

No comments:

Post a Comment