Thursday 21 January 2016

KENALAN DI TANGKUBAN PARAHU

Teringat pula kenangan semasa bercuti ke Negara Indonesia bersama keluarga beberapa tahun yang lepas. Bukan saja dianugerahi rasa seronok dan gembira. Malah, banyak pengajaran yang dapat dipelajari melalui pemerhatian.

Keadaan jalan raya di Bandar Jakarta sentiasa sesak sepanjang masa. Kenderaan berjarak dekat antara satu sama lain. Seolah-olah hampir terhimpit tapi Alhamdulilah tiada kemalangan yang berlaku. Ditambahi dengan bunyi ‘hon’ kereta yang meriuhkan lagi suasana. Saya fikir kalau di Malaysia, tentu saja pengguna-pengguna jalan raya akan naik mengamuk. Mungkin saja boleh bertelingkah antara satu sama lain walau di tengah-tengah jalan raya. Diperhati orang ramai. Tapi di sana, rakyatnya masih punya rasa hormat dan toleransi. Saya tidak kata rakyat Malaysia semua begitu. Namun, segala yang berlaku kita jadikan satu peringatan. Kebanyakan rakyat Indonesia di sana kaya dengan budi bahasa dan keramahan. Lelaki, perempuan, warga muda dan warga tua semuanya menggunakan pertuturan yang sangat lembut dan sopan. Mereka tidak angkuh. Alhamdulilah! Saya diberi peluang bertemu dengan mereka.

Walau rasa rimas dengan peniaga-peniaga di tepi jalanan yang sentiasa mengekori dan memaksa kita membeli barangan mereka. Namun, semangat dan kesungguhan mereka membuatkan saya rasa kagum dan malu dengan diri sendiri. Mereka tidak marah dan tidak tampak kecewa jika kita bekeras tidak mahu membeli barangan mereka. Mungkin kerana keyakinan mereka terhadap rezeki Allah berikan melebihi segala. Mereka tergolong dari orang-orang tua, dewasa, remaja dan kanak-kanak kecil. Semua itu tidak menghalang mereka untuk sentiasa bangkit dan berusaha dalam hidup. Teringat pula akan lagu dari band Indonesia ‘D’Masiv’ yang mempopularkan lagu ‘Jangan Menyerah’. Muzik videonya betul-betul memaparkan kisah hidup di Negara Indonesia.

Saya sentiasa mengingati jelas memori di Tangkuban Parahu, Bandung. Tangkuban Parahu adalah tempat kunjungan orang ramai dimana di sana kita dapat menyaksikan kebesaran Allah Taala. Gunung berapi yang pernah meletus lamanya sehingga meninggalkan kesan sejarah pada rakyat Indonesia malah seluruh dunia. Di sana pengunjung berpeluang untuk menaiki ke puncak gunung untuk melihat kawah yang didalamnya terdapat air panas dan lumpuh yang menggelegak secara jelas. Ada juga pengunjung yang membeli telur dan memasaknya di kawasan permukaan gunung yang panas.

Kasim, seorang peniaga jalanan berumur 21 tahun. Tekad sungguh dia memaksa ibu saya untuk membeli tasbih yang dijualnya. Katanya, batu tasbih tersebut adalah batu mahal. Memang cantik. Namun, pujukannya masih tidak Berjaya. Ibu saya terpaksa tidak menghiraukannya walaupun dia mula mengekori kami sekeluarga. Saya sempat mengambil peluang mejadi detektif tidak bertauliah. Saya menanyakan dia pelbagai soalan. Alhamdulilah, dia turut melayan saya dengan baik dan menjawab semua soalan saya seperti seorang kawan.
Dia begitu selesa menceritakan kisah hidupnya dengan saya. Rupanya Kasim sudah beristeri  dan mempunyai anak comel berusia setahun. Ceritanya, dia selalu mahu menjual barangannya habis dengan cepat kerana merindui mereka yang menunggu dirumah. Pernah juga dia terpaksa hingga lewat malam mencari rezeki demi mencari makan untuk keluarga. Rasa tanggungjawab sebagai ketua keluarga tidak membenarkan isterinya bekerja. Biarlah dia seorang saja mencari makan mereka sekeluarga.

Apa yang membuatkan saya lebih sayu, Kasim berkeinginan untuk menyambung pengajian. Dia minat untuk mempelajari lebih lagi dalam bidang agama. Namun, kesesakan hidupnya menghalang niat dan cita-citanya itu. Kedengaran nada suara tabah dan redha.
Rezeki miliknya, ibu saya yang tidak langsung mendengar perbualan kami tadi akhirnya membeli juga tasbih yang dijualnya itu. Saya mengagak, dia akan terus beredar dari situ. Tapi tidak, dia terus berbual dengan saya dan kami juga saling berkongsi. Malah, pelbagai nasihat yang diberikan pada saya. Terutamanya peringatan tentang rasa syukur saya diberi rezeki oleh Allah dapat menyambung pengajian saya. Peluang itu datang dari Allah, namun boleh pergi sekiranya kita tidak menjaga dengan baik.

Masa mencemburui kami, tiba masa saya dan keluarga harus beredar dari situ untuk melawat ke tempat lain. Perkenalan saya dengan Kasim juga berhenti sampai disitu. Dia menghantar kami hingga ke van persiaran yang kami naiki. Saya sempat menghulurkan wang buat belanja isteri dan anaknya. Tidak seperti yang saya agak juga, dia tidak mahu menerima wang itu. Bukan tolak rezeki, namun biarlah hasil pendapatannya daripada hasil titik peluhnya sendiri.
SubhanAllah, sehingga kini, dari jauh saya sentiasa mendoakan Kasim sekeluarga sentiasa dilindungi Allah, diberikan anugerah kebahagiaan, dilimpahi rezeki yang banyak dan mendapat rahmat Iman. Aamiin.













No comments:

Post a Comment