Tuesday 26 January 2016

Kita Prihatin?

Persembahan lagu 'Assalamualaikum Dunia' oleh Faizal Tahir dalam Anugerah Juara Lagu 2016 yang disiarkan secara langsung di TV3 dua hari lepas memberi kesan yang mendalam kepada diri saya. Seolah-olah saya baru tersedar dari mimpi yang diulik dengan kesenangan dalam hidup. Saya sering mengakui bahawa saya sangat prihatin terhadap mereka. Saya kisah dan peduli. Namun, difikirkan balik seolah-olah ‘cakap tak serupa bikin’.

Serangan terhadap mereka bagai tiada penghujungnya. Mereka ditindas setiap hari dan setiap masa. Kisah-kisah mereka yang terpampang di dunia berita dan laman sosial tidak putus-putus menyebabkan segelintirnya mungkin merasakan bosan dan tidak ambil kisah lagi. Kita sering memberi alasan yang kita tidak mampu membantu mereka melalui sumbangan apatah lagi tenaga.

Ayuh! Saya dan kita semua bangun dan bangkit semula. Bantulah mereka selagi ada kudrat. Sebenarnya macam-macam cara kita boleh menolong mereka. Sekarang terdapat banyak badan0badan NGO kemanusiaan yang ditubuhkan. Ambil masa untuk mendapatkan mereka kemudia kita berilah sumbangan semampu yang kita boleh. Biasanya yang selalu memberi ini, dia akan mendapat lebih banyak ganjaran dan rezeki. Tak percaya… cubalah. Tak banyak, sedekahkan RM1 di tabung surau. Kita akan dapat pulangan yang tak disangka-sangkakan. Kadang-kadang bukan melalui mata wang tapi sesuatu yang membuatkan kita rasa bersyukur dapat memperolehinya.

Selain itu, sekiranya kita bertenaga dan mempunyai kudrat, ambillah peluang untuk menyertai misi-misi bantuan dengan menjadi sukarelawan yang ditawarkan oleh badan-badan NGO. Dengan itu, kita mampu lagi memahami dan melihat keadaan mereka dengan mata kita sendiri. Apa yang saya perhatikan daripada mereka yang mempunyai pengalaman tersebut, mereka lebih mensyukuri apa adanya dan berhijrah ke arah yang lebih baik selepas pulang ke tanah air. Rebutlah peluang itu. Semoga kita ada rezeki satu hari nanti.

Apa yang penting adalah doa. Doa senjata mukmin. Cuba kita fikirkan, ada kah mereka dalam doa kita? Kita lupa? Ya, mungkin saja lupa. Kita boleh ubah, masih belum terlambat. Kita juga boleh amalkan qunut nazilah dalam solat kita. Ingatlah, usaha kita akan dipersoalkan saat kita menghadap Allah. Malah, diam kita juga terhadap mereka akan dipersoalkan. Dimanakah kita? Jawapannya ada pada kita.





No comments:

Post a Comment