Seorang lelaki dan seorang perempuan secara rasmi sah
menjadi suami isteri selepas akad nikah, Masing-masing mempunyai tanggungjawab
untuk saling melengkapi dan menjadi pasangan yang sempurna. Pelbagai rintangan
dan cubaan menghiasi kehidupan rumahtangga. Ada rasa manis, ada juga rasa pahit
yang sangat ingin dijauhi. Namun, jika tiada rasa pahit, kita tidak akan mampu
menghargai rasanya manis. Namun, tiada yang lebih gembira apabila suami isteri
dikhabarkan bakal menjadi ibu dan ayah.
Hembusan Kun Fa Ya Kun, anugerah Ilahi. Begitu hebatnya
kuasa Allah jika kita sentiasa menjadi hambaNya yang berfikir. Menempatkan
seorang manusia di awal kewujudannya di dalam perut seorang ibu. Allahuakbar!
Saya mahu berkongsi kisah sedikit tentang saya. Apabila
disahkan mengandung lima minggu. Hanya Allah saja yang tahu pelbagai perasaan
yang dirasai. Ada rasa ragu-ragu, ada perasaan keliru, ada perasaan bimbang,
ada rasa takut namun masih tidak mampu mengalahkan adanya rasa syukur dan rasa
gembira.
Rasa ragu-ragu dan keliru membuatkan saya membuat ujian
kehamilan secara personal sebanyak tiga kali. Itupun tidak mampu membuang rasa
ragu-ragu dalam hati. Mungkin perasaan ragu-ragu datang kerana terlalu rasa
gembira dan harapan. Semuanya pulih apabila saya melakukan sekali lagi ujian
kehamilan di klinik swasta. Alhamdulilah… secara rasmi saya disahkan
mengandung. Saya kini merupakan seorang ibu. InshaaAllah.
 |
Di minggu ketujuh ini, Jantung bayi
anda sudah terbentuk lengkap. Saraf dan ototnya dapat bekerja bersama untuk
kali yang pertama. Bayi mempunyai refleksi
dan dapat bergerak spontan. Tetapi, anda masih belum dapat merasakannya.
Pada akhir minggu ketujuh ini juga, otak bayi anda akan terbentuk lengkap.
|
Kini, usia kandungan saya sudah masuk minggu yang ketujuh.
Walau waktu ini usia kandungan saya masih sekecil-kecilnya. Namun, saya merasai
kehadirannya dengan bahagian perut terasa kram dan menyucuk-yucuk. Melalui
bacaan yang dibuat, semua ini dirasai kerana embrio melalui proses
perkembangan.
Pada awal kehamilan ini atau lebih dikenali sebagai Trimester
Pertama, saya sering diingatkan banyak kali tentang penjagaan makanan,
contohnya pengambilan makanan berkhasiat. Seterusnya, penjagaan fizikal,
contohnya jangan terlalu lasak, jangan mengangkat barang berat, jangan terlalu
lama berdiri, jangan bekerja keras dan sebagainya. Namun begitu, penjagaan
rohani dari awal ini tidak kurang pentingnya malah sangatlah penting.
Kini mudah kita mendapatkan info dari internet. Zikir-zikir,
doa-doa serta amal-amal yang boleh dijadikan amalan untuk ibu-ibu mengandung. Surah-surah
amalan juga telah siap disenaraikan beserta penerangan manfaat dan
kelebihannya.
Adakah hanya itu saja cukup? Ramai yang terlepas pandang
akan beberapa perkara iaitu berkenaan dengan organ deria manusia. Terutamanya
mata, telinga dan mulut. Organ-organ ini snagat penting bagi keperluan manusia.
Kurang satu daripadanya, kita digelasr sebagai golongan orang kurang upaya.

Allah jadikan mata untuk melihat. Dashyatnya penglihatan
melalui mata bukan saja terkesan di ingatan malah turun ke hati. Jika pandangan
kotor, maka jadi hitamlah hati. Jika pandangannya bersih, maka terpeliharalah hati.
Begitulah perumpamaannya. Ibu mengandung wajib menjaga penglihatan mereka dari
melihat perkara-perkara maksiat. Lebih-lebih lagi pada penggemar filem-filem
inggeris atau Hindustan mahupun filem melayu yang mempunyai adegan-adegan ‘sensored’.
Perkara ini sudah dipandang biasa. Namun, kesannya sangat besar kerana ia dapat
mengotorkan hati. Lebih teruk lagi, ia terkesan pada janin kandungan secara
rohaniah.
Tanpa telinga kita tidak mampu mendengar. Kita akan menjadi
orang pekak. Namun, memilih untuk pekakkan telinga dari mendengar perkara-perkara
sia-sia adalajh pilihan yang bijak untuk ibu mengandung. Ibu-ibu mengandung
disarankan untuk mendengar perkara-perkara ilmiah, kekuasaan Allah Taala dan
kisah sirah Nabi dan Rasul.

Bak kata pepatah, “Kerana Mulut, Badan Binasa”. Kuasa yang
paling besar diantara semua organ manusia. Dengannya, permusuhan boleh berlaku.
Dengannya, seseorang individu boleh musnah dan terpedaya. Melalui pemerhatian,
saya rasa sedih apabila melihat ibu-ibu mengandung yang masih menggunakan
perkataan-perkataan seperti, ‘bodoh’, ‘celaka’, ‘babi’ dan sebagainya. Sia-sia
saja jika dalam doa kita sentiasa memohon agar anak-anak kita menjadi anak yang
soleh dan solehah. Jangan salahkan mereka jika mereka menggunakan perkataan itu
sebagai makanan harian mereka. Jangan pelik jika anak-anak kecil sudah pandai
menggunakan perkataan-perkataan tersebut. SubhanAllah, Allah berikan peluang
buat bayi-bayi dalam perut ini untuk mendengar suara ibu mereka. Selain itu,
budaya mengumpat yang masih belum Berjaya dibendung lagi. Sentiasa ingat hadis
Rasulullah yang menyatakan, sesiapa yang mengata tentang saudaranya seumpama
memakan daging saudaranya sendiri.

Melalui doa kita, kita sering menyebut inginkan anak yang
soleh dan solehah. Doa bukan saja satu kata. Doa tidak akan menjadi tanpa usaha
dan tindakan. Begitu jugalah tugas seorang ibu yang mahukan anaknya menjadi
soleh dan solehah. Semoga perkara ini memberi peringatan buat ibu-ibu yang
sedang mengandung termasuk diri saya sendiri dan juga buat isteri-isteri di
luar sana yang masih menunggu khabar gembira. Malah, untuk muslimah dan
muslimin yang masih belum mendirikan rumah tangga. Dari awal inilah yang patut
kita jaga. InshaaAllah, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Anak yang
soleh dan solehah buat bapa dan ibu yang solehah. Kita mampu mengubahnya. Perbaikilah
diri kita dahulu.